
The Edge melaporkan dalam writ dan pernyataan tuntutan yang difailkan minggu lalu, plaintif kini mahu ASD3.7837 bilion daripada defendan, berbanding ASD1.404 bilion yang dituntut sebelum ini.
Dua bulan lalu, plaintif menuntut jumlah itu daripada Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, bapanya Larry Low, kakaknya May Lin serta Tan.
Kini, plaintif termasuk 1MDB Energy Holdings Ltd (1MDHL), 1MDB Energy Ltd (1MEL), 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL) dan Global Diversified Investment Company Ltd (dahulu ialah 1MDB Global Investments Ltd atau 1MGIL) menyenaraikan ibu Jho Low, Goh Gaik Ewe dan abangnya, Taek Szen sebagai defendan tambahan.
Menurut pernyataan tuntutan itu, Jho Low dikatakan mendapat dana itu antara 30 Sept 2009 dan 7 Nov 2014, manakala Tan didakwa menerimanya antara 1 Okt 2009 dan 7 Nov 2014.
Individu lain didakwa menerima wang dan barang kemas antara 2009 dan 2014.
Plaintif mendakwa defendan terbabit dalam pelbagai penipuan dan pemerkayaan tidak adil, penyelewengan, kepercayaan konstruktif dan konspirasi.
Mereka menuntut ASD660.75 juta daripada Jho Low sahaja.
Pernyataan tuntutan itu turut mendedahkan Larry menerima ASD979 juta daripada 1MDB dan 1MGIL, manakala May Lin menerima ASD3.5 juta daripada 1MDB antara 2009 dan 2010.
Taek Szen menerima dana daripada 1MGIL, sementara Goh menerima barang kemas daripada 1MEL dan 1MELL.
Syarikat terbabit menuntut ASD2.136 bilion daripada Jho Low serta Tan, manakala ASD324.75 juta daripada Jho Low dan bapanya, Larry.
Mereka turut menuntut ASD3.5 juta daripada May Lin dan Jho Low, serta mengarahkan ganti rugi teruk, am dan punitif terhadapnya.
1MGIL menuntut ASD$629.6 juta daripada Larry, Jho Low dan Tan, serta ASD27.5 juta dari Taek Szen, Jho Low dan Tan.
Dokumen mahkamah itu turut menyatakan ia menuntut A\SD1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan, susulan pembelian barang kemas dan apa sahaja keuntungan rahsia.
Menurut The Edge, peguam Siva Kumar Kanagasabai, yang mewakili plaintif, akan cuba menyerahkan writ pindaan itu kepada semua defendan atau memohon pengganti, jika gagal.
Sebutan kes ditetapkan pada 12 Ogos ini.