Guna teknologi, elak pesakit Covid-19 berkumpul, kata bekas timbalan menteri

Guna teknologi, elak pesakit Covid-19 berkumpul, kata bekas timbalan menteri

Dr Lee Boon Chye berkata penilaian kesihatan Covid-19 boleh dilakukan menerusi panggilan video, diikuti dengan WhatsApp atau pesanan teks.

Orang ramai tidak sepatutnya mengerumuni pusat penilaian seperti yang berlaku di Stadium Malawati di Shah Alam semalam untuk menentukan sama ada mereka patut melakukan kuarantin kendiri atau dimasukkan ke hospital, kata Dr Lee Boon Chye. (Gambar Twitter @abangridhwan)
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye menyuarakan rasa terkejut apabila melihat pesakit Covid-19 dibenarkan berkumpul secara beramai-ramai di stadium untuk menjalani penilaian kesihatan.

Lee berkata, langkah seperti itu memperlihatkan Malaysia sebagai negara dunia ketiga yang langsung tidak mempunyai kemudahan internet.

Katanya, penilaian kesihatan Covid-19 boleh dilakukan menerusi panggilan video, diikuti dengan WhatsApp atau pesanan teks.

“Pesakit tidak sepatutnya ke pusat penilaian Covid-19 untuk mendapatkan kepastian sama ada mereka patut dikuarantin atau dimasukkan ke hospital.

“Kita sedang menghadapi satu pandemik. Sesetengah birokrasi perlu dielakkan,” katanya kepada FMT.

Lee berkata, petugas perubatan boleh memberi rundingan kepada individu menerusi panggilan video selepas disahkan positif seperti didaftarkan dalam aplikasi MySejahtera.

“Jika anda mempunyai pesakit berusia 60 tahun dengan masalah darah tinggi atau kencing manis, mereka boleh dihantar ke MAEPS,” katanya yang merujuk kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang.

Bagaimanapun, katanya jika seseorang itu masih muda dan sihat, petugas perubatan boleh mengarahkan individu terbabit melakukan pengasingan kendiri di rumah dengan memaklumkan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Hanya mereka yang tidak mempunyai kemudahan internet dan tidak pasti dengan keadaan diri sendiri harus membuat penilaian di pusat terbabit.

“Dengan melakukan perkara ini, bilangan orang ramai akan berkurangan kepada 80% hingga 90%,” kata ahli Parlimen Gopeng itu.

Semalam, satu video tular di media sosial selepas kira-kira 4,000 orang beratur panjang di Stadium Malawati di Shah Alam untuk melakukan penilaian kesihatan Covid-19.

Hari ini, portal berita Malaysian Gazette turut memuat naik video siaran langsung menunjukkan barisan panjang pesakit yang menunggu di sebuah pusat sukan di Taman Sri Andalas, Klang.

Difahamkan, penduduk membuat bantahan kerana bimbang akan dijangkiti Covid-19 akibat pembukaan pusat berkenaan.

Laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan bahawa mereka yang disahkan positif tetapi masih belum dihubungi Kementerian Kesihatan, boleh berhubung dengan salah satu daripada lima pusat penilaian itu.

Lee juga berkata daripada memotong gelang tangan mereka yang baru saja tamat tempoh kuarantin di pusat terbabit, pengesahan status boleh dihantar menerusi WhatsApp atau pesanan teks dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin atau Tamil.

Katanya, bagi memastikan pesakit tidak melanggar peraturan ketika kuarantin, kerajaan juga boleh menggunakan tenaga saintis data untuk melakukan pengesanan menerusi imbasan MySejahtera di cawangan atau premis.

“Apa yang susah sangat? Kita bercakap mengenai Revolusi Industri 4.0, ini hanyalah teknologi bantuan yang mudah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.