
Jawatankuasa berkenaan dalam kenyataan hari ini berkata, pendekatan tersebut mampu dilakukan melalui kaedah pengenalpastian pantas, pengasingan dan pengekangan jangkitan.
“Perubahan strategi ini akan merintis langkah awal kepada pembukaan semula kegiatan ekonomi secara berperingkat yang akan dapat memulihkan pasaran pekerjaan dan meredakan kebimbangan para pelabur,” katanya.
Menurut PH, kebenaran beroperasi haruslah diberikan berdasarkan penilaian saintifik ke atas risiko penyebaran jangkitan dalam sektor ekonomi tersebut.
“Penilaian risiko secara saintifik ini juga akan membenarkan Malaysia membuka semula sektor-sektor ekonomi berisiko secara berperingkat.
“Seterusnya membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan untuk membantu sektor-sektor ekonomi berisiko tinggi mewujudkan ruang kerja kalis pandemik,” katanya.
PH turut mencadangkan kerajaan berbelanja dan melabur untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam serta mewujudkan ruang kalis wabak demi kelangsungan kegiatan ekonomi.
“Kerajaan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM15 bilion dalam bentuk geran, pembiayaan mudah dan insentif cukai untuk mewujudkan ruang kerja, kilang dan kuarters pekerja yang kalis pandemik,” katanya.
Ia turut menggesa kerajaan mewajibkan ujian saringan bersubsidi di tempat kerja secara berkala.
Katanya lagi, lawatan kerja ke pelbagai negara asing oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali akan menjadi sia-sia jika beliau dan kerajaan PN gagal menangani permasalahan pokok yang berisiko menolak keluar pelabur sedia ada.
“Pelbagai kumpulan pelabur termasuklah Japanese Chamber of Trade & Industry Malaysia, Malaysian Dutch Business Council dan Malaysian-German Chamber of Commerce and Industry mendesak kerajaan untuk menilai semula SOP.”
Menurut jawatankuasa berkenaan, kegagalan dan impak ekonomi daripada siri sekatan pergerakan sebelum ini haruslah menjadi iktibar bahawa ia bukanlah langkah terbaik untuk memerangi wabak dalam jangka masa panjang.
“Ia tak ubah seperti marahkan nyamuk, kelambu dibakar,” katanya.
Jawatankuasa Ekonomi PH dianggotai oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew, Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad, Ammar Atan dan Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar daripada Pemuda Amanah serta Raja Iskandar Fareez dan E Hun Tan daripada DAP.