‘Betul itu anggota kami,’ kata polis kepada wanita yang mendakwa diserbu ‘penyamar’

‘Betul itu anggota kami,’ kata polis kepada wanita yang mendakwa diserbu ‘penyamar’

Anggota polis berpakaian preman itu adalah dari Nilai, Negeri Sembilan yang datang melakukan serbuan di sebuah unit kondominium di Pulau Pinang berhubung kes tipu.

Anggota polis yang berpakaian preman tidak dibenarkan masuk untuk melakukan serbuan.
GEORGE TOWN:
Polis menegaskan bahawa serbuan terhadap sebuah unit kondominium di Logan Road adalah mengikut prosedur, selepas seorang penghuni wanita mendakwa anggota yang berpakaian preman itu mungkin sekadar ‘penyamar’ dalam satu siaran langsung di Facebook, lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Fazley Ab Rahman berkata anggotanya itu terbabit dalam serbuan yang turut disertai dua anggota polis Pulau Pinang untuk mengesan lelaki dikehendaki dalam kes tipu di unit kondominium itu.

Katanya, dalam serbuan itu, anggota telah memperkenalkan diri mereka kepada penghuni dan menunjukkan kad identiti polis.

“Tidak ada penahanan atau rampasan barangan dilakukan memandangkan lelaki yang dicari tiada di rumah.

“Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mensensasikan isu ini ketika kami hanya menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan.

Bermula tengah malam hingga jam 2 pagi, wanita berkenaan membuat siaran langsung di Facebook yang menunjukkan sekumpulan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis, berada di pintu rumah dan meminta dibuka untuk melakukan serbuan.

Seorang daripada mereka itu membawa playar dan mengarahkannya membuka pintu jeriji atau ia akan diumpil. Wanita itu bagaimanapun enggan berganjak.

Dia kemudiannya memberitahu sedang membuat siaran langsung insiden berkenaan kerana bimbang kumpulan itu bukan anggota polis seperti didakwa.

Selepas itu, dua lagi anggota polis Pulau Pinang tiba dengan berpakaian seragam untuk membuktikan mereka memang anggota penguat kuasa sebelum wanita terbabit membenarkan mereka masuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.