Jika tidak, kata Yeoh, ini akan membuktikan pelantikannya hanyalah “wayang politik semata-mata”.
“Hanya kerajaan zalim dan tidak bertanggungjawab sahaja yang akan menunggu dan tidak melakukan apa-apa sedangkan apa yang diperlukan hanyalah satu mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang baharu dilantik untuk memberikan bantuan kepada rakyat,” katanya.
Yeoh menyebut percanggahan prosedur operasi standard (SOP) dalam tiga sektor perniagaan yang perlu diperbetulkan oleh Ismail dalam minggu pertama menyandang jawatan baharunya.
Ini melibatkan kedai alat tulis, pasar pagi dan perkhidmatan kesihatan dan kedai gunting rambut yang disifatkan sebagai perkhidmatan perlu sepanjang PKP 3.0.
Pertama sekali, kata Yeoh, semua kedai alat tulis perlu dibuka memandangkan kerajaan mahukan rakyat bekerja dari rumah dan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian.
“Buku tidak jatuh dari langit dan kertas tidak terbang melayang. SOP yang membingungkan ini menimbulkan kesulitan kepada mereka yang terpaksa bergerak dari satu kedai ke kedai hanya untuk membuat salinan, mencetak atau membukukan dokumen.
“Terdapat pelajar mata pelajaran seni dan pelbagai mata pelajaran lain untuk kelas dalam talian. Bagaimana mereka boleh belajar dengan berkesan tanpa peralatan yang mencukupi?” soalnya.
Beliau juga keliru dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pusat kesihatan seperti pengamal kiropraktik yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP 3.0, sementara perkhidmatan ahli fisioterapi dibenarkan.
“Malaysia melalui banyak siri ‘lockdown’ sejak 2020 tetapi saya dimaklumkan bahawa ‘kiropraktor’ tidak boleh beroperasi kali ini sedangkan ahli fisioterapi dibenarkan,” katanya.
“Mengapakah ahli fisioterapi dianggap tidak akan menyebarkan virus berbanding ‘kiropraktor’?”
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kewajaran pasar pagi terbuka ditutup sedangkan gerai tepi jalan dibenarkan beroperasi.
“Saya mahu membangkitkan kes pasar pagi Taman Kok Doh di kawasan Parlimen saya yang mempunyai ramai pelanggan golongan warga emas setiap pagi.
“Arahan penutupan perniagaan sepanjang ‘lockdown’ memaksa mereka membeli di pasar raya besar yang terletak dalam kawasan Parlimen yang lain dan menyebabkan kos perjalanan bertambah serta persekitaran yang kurang selamat kerana ia adalah pasar raya yang tertutup.
“Di mana logiknya SOP ini sedangkan gerai di tepi jalan dibenarkan beroperasi semasa ‘lockdown’?”
Tiga perkara berbangkit ini katanya hanya senarai pendek yang disuarakan rakyat berhubung SOP “tidak masuk akal”.
“Rakyat sudah tidak mampu lagi untuk duduk di rumah. Ramai yang kehabisan wang simpanan mereka dan tidak lagi mampu membayar sewa rumah atau bil utiliti,” katanya.