Sarawak beralih Fasa 2 mulai Rabu, kata Ismail

Sarawak beralih Fasa 2 mulai Rabu, kata Ismail

Peralihan itu berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama.

Sarawak akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara bermula Rabu ini.(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan memutuskan Sarawak akan beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 14 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata peralihan itu berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama yang ditetapkan.

Sebelum ini Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Sabah berjaya melangkah dari Fasa 1 ke Fasa 2.

Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan bersetuju memberikan kebenaran kepada semua “outlet” pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi yang terletak dalam pusat membeli-belah serta pasar raya besar untuk beroperasi sepanjang PPN berkuat kuasa 13 Julai ini.

PKPD di beberapa lokaliti bermula 14 Julai

Dalam perkembangan lain, beliau berkata beberapa lokaliti dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bermula 14 hingga 27 Julai ini.

Katanya, ia membabitkan Felda Lembah Klau, Mukim Gali, Raub, Pahang; Kampung Kendaie dan Kampung Bukit Batu, Lundu, Kuching, Sarawak; Felda Maokil, Muar, Johor dan Taman Muhibbah Fasa 1,2 dan 3, Beaufort, Sabah.

Menurutnya, PKPD juga dikenakan di kawasan sekitar Kampung Patikang Ulu, Keningau, Sabah iaitu kilang dan kuarters Focus Lumber, kilang dan kuarters Veracity, kilang dan kuarters Hasil Jadi, Pusat Memandu IDA dan penempatan warga Indonesia.

“Selain itu, dua Lokaliti di Penampang, Sabah iaitu di Kampung Madsiang dan Apartment Beverly Hills Fasa 2 serta Kampung Kobusak,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, lanjutan PKPD di dua lokaliti iaitu CLQ Gamuda Garden, Kundang Jaya, Rawang, Selangor bermula 14 hingga 19 Julai dan Flat Taman Benus Jaya, Bentong, Pahang mulai 14 hingga 27 Julai.

Katanya, beberapa lokaliti PKPD ditamatkan iaitu Taman Murni, Sepang, Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat, CLQ Johan Setia, Kampung Johan Setia, Klang, Selangor.

Kampung Tematu, Jalan Batu Kitang, Kuching, Sarawak; Kampung Linukaan, Kota Marudu, lokaliti di Kudat, Kampung Perpaduan Gumpa, Kampung Perpaduan 2, Kampung Timbagaan, Matunggong, Rumah Pekerja Ladang Sungai Balung, Tawau, dan Kuarters Kilang Bata Kampung Durok, Kampung Limbawan Sayur, Keningau, Sabah.

Ingkar SOP

Sementara itu, Ismail memaklumkan seramai 514 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 503 individu dikompaun manakala 11 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (126), tiada penjarakan fizikal (104), individu gagal mendaftar masuk premis (69), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (58), membawa penumpang berlebihan (56), tidak memakai pelitup muka (55), premis gagal patuhi arahan (13) dan lain-lain (33),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.