PKPD Selangor: Pekerja kilang wajib jalani saringan 2 kali seminggu

PKPD Selangor: Pekerja kilang wajib jalani saringan 2 kali seminggu

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata majikan perlu memberikan kerjasama dan tanggungjawab menanggung sepenuhnya kos saringan itu.

Mohamed Azmin Ali berkata, langkah penjagaan SOP yang ketat perlu seiring dengan tindakan secara praktikal bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 daripada terus merebak terutama di tempat kerja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mewajibkan semua pekerja sektor perkilangan dan pembuatan di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Selangor menjalani ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) dua kali seminggu bermula 7 Julai lalu.

Menterinya Mohamed Azmin Ali berkata, langkah awal itu dilihat mampu mengenal pasti kes jangkitan Covid-19 lebih awal, selain memastikan hanya pekerja disahkan negatif dibenarkan bekerja.

Katanya, majikan perlu memberikan kerjasama dan bertanggungjawab menanggung sepenuhnya kos saringan itu.

“Saya menyeru kepada semua majikan agar tidak mengambil kesempatan atas peluang yang diberikan oleh pihak kementerian.

“Perkara ini amat dikesali kerana ramai yang tidak patuh dengan SOP serta memandang ringan perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, langkah penjagaan SOP yang ketat perlu seiring dengan tindakan secara praktikal bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 daripada terus merebak terutama di tempat kerja.

Pada 30 Jun lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mendedahkan 91% kluster Covid-19 di negeri itu berpunca daripada pekerjaan, iaitu 80% kluster perkilangan dan 11% kluster tapak bina bersamaan dengan 125 kluster daripada dua sektor berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.