MMA harap tindakan Kabinet untuk doktor kontrak

MMA harap tindakan Kabinet untuk doktor kontrak

Persatuan Perubatan Malaysia berkata, ia sudah dimaklumkan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat mingguan Kabinet pada Rabu.

MMA melancarkan kempen ‘Code Black’ dari 1 Julai hingga hari ini untuk menyokong doktor kontrak.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berharap Kabinet akan mengambil tindakan untuk menyediakan jawatan tetap kepada doktor kontrak dalam mesyuarat mingguan menteri pada Rabu.

“Kami menunggu pengumuman dibuat mengenai perkara ini dalam masa terdekat,” kata Dr Vijay Ganasan, Pengerusi Bahagian berkaitan pelatih, pegawai dan pakar perubatan MMA dalam sidang media sempena berakhirnya kempen “Code Black” untuk menyokong doktor kontrak.

“Kami turut menggesa kerajaan membentangkan isu ini untuk penyelesaian jangka panjang dalam sidang Parlimen (seterusnya).

Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, berkata kertas cadangan meminda skim doktor kontrak sedang disediakan dan akan dikemukakan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Dr Vijay Ganasan.

Vijay berkata, MMA mengadakan pertemuan “berhasil” dengan Adham dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengenai kebimbangan doktor kontrak minggu lalu.

Perbincangan turut diadakan akhir bulan lalu dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz.

Sistem kontrak mengehadkan pegawai perubatan kepada perkhidmatan selama lima tahun dalam sektor awam, selepas itu mereka perlu ke sektor swasta atau menyertai latihan kepakaran sendiri. Skim itu diperkenalkan pada 2016 untuk menangani masalah terlalu ramai graduan perubatan.

MMA melancarkan kempen “Code Black” dari 1 Julai hingga hari ini bagi menggalakkan orang ramai menukar gambar profil dalam media sosial mereka kepada hitam putih atau satu warna sebagai menyokong doktor kontrak.

Orang ramai turut diminta pergi bekerja dengan berpakaian hitam hari ini sempena hari terakhir kempen itu.

Bercakap dalam majlis “Code Black” hari ini, Presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy berkata, pihaknya belum nampak penambahbaikan ketara dalam prospek kerjaya, akses kepada laluan kepakaran dan jaminan pekerjaan untuk doktor kontrak sejak kumpulan pertama direkrut pada Disember 2016.

Dr Subramaniam Muniandy.

Katanya, lebih banyak jawatan tetap diperlukan untuk semua profesion penjagaan kesihatan bagi mengekalkan kakitangan kontrak dalam sistem penjagaan kesihatan awam kerana kemudahan “tidak mencukupi” untuk menyokong populasi yang semakin bertambah dan berusia.

Beliau menggesa kerajaan mendedahkan sistem ranking lantikan ke jawatan tetap secara terperinci dan telus, menjamin keselamatan pekerja kontrak dan memberikan manfaat serta gaji sama kepada pekerja kontrak dan tetap.

Subramaniam turut menggesa pemimpin politik mengetepikan semua permainan politik dan bekerjasama menyelesaikan masalah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.