Mahkamah tolak permohonan Najib dapatkan dokumen berkait keluarga Zeti, Jho Low

Mahkamah tolak permohonan Najib dapatkan dokumen berkait keluarga Zeti, Jho Low

Hakim berkata permohonan mendapatkan dokumen berkenaan adalah pramatang.

KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mendapatkan dokumen berkaitan syarikat yang didakwa dikuasai keluarga Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho, bagi perbicaraan 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, permohonan mendapatkan dokumen berkenaan bersifat pramatang.

“Saya tidak lihat bagaimana dokumen bank itu yang berkait dana diterima keluarga beliau (Zeti) adalah relevan bagi kegunaan pihak pembelaan,” katanya.

Sequerah berkata, dokumen yang diminta Najib bagi mempersoalkan kredibiliti Zeti sebagai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) menjurus kepada “serangan sampingan”.

“Pihak pembelaan boleh menyoal balas beliau (Zeti) apabila dipanggil ke kandang saksi kemudian,” katanya.

Selain itu, mahkamah juga menolak permohonan Najib bagi mendapatkan rekod telefon bimbit bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, selepas mengambil kira pihak pendakwa raya secara jelas memaklumkan mereka tidak memiliki dokumen terbabit.

“Permintaan terkandung dalam notis untuk mendapatkan rekod telefon bukan dalam keupayaan penguatkuasaan,” kata Sequerah.

“Terkandung dalam keterangan bahawa rekod telefon seperti diminta tertuduh (Najib) bukan sebahagian daripada kes yang dibawa pihak pendakwa raya terhadapnya dan pihak pendakwa raya tidak mempunyai kewajipan mengemukakan dokumen berkenaan, yang bukan sebahagian daripada kes dikemukakan, kepada pihak pembelaan,” katanya.

Bagi percubaan Najib memohon salinan dokumen penyelesaian tuntutan antara kerajaan dan Goldman Sachs, mahkamah memaklumkan maklumat yang dipohon pihak pembelaan tidak dibuat secara terperinci.

Kerajaan mencapai penyelesaian tuntutan dengan Goldman Sachs pada Julai tahun lalu membabitkan pemerolehan semula dana berjumlah USD3.9 billion (RM16.63 billion).

Najib berdepan perbicaraan berkaitan 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun Ambanknya dalam tempoh antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan dijadual bersambung semula pada 17 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.