Presiden parti itu Abdul Hadi Awang menghentam golongan yang menguar-uarkan Malaysia sudah gagal menangani wabak Covid-19 dengan berkata, hanya mereka yang masih “bermain politik” akan berbuat demikian.
Hakikatnya, kata Hadi, ketika petugas barisan depan masih menghadapi keadaan paling mencabar, dunia dihadapkan pula dengan kemunculan varian baharu Covid-19 seperti varian Delta yang dikatakan lebih berbahaya.
“Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri telah memberikan amaran kepada semua negara supaya bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Hanya mereka yang masih gila ‘berpolitiking’ membuat kenyataan bahawa Malaysia sudah gagal menangani wabak Covid-19, seolah-olah mereka berada di planet lain bukan di alam bumi,” katanya di Facebook.
Hadi kesal golongan berkenaan menganggap Kementerian Kesihatan berpolitik dalam melaporkan statistik penularan wabak Covid-19 sekali gus membidas mereka yang mencabar pihak berkuasa yang sedang menangani wabak.
“Seperti orang buta memarahi orang yang menolongnya untuk menyeberangi jalan yang sibuk dan lalu lintas yang berbahaya,” katanya.
Hadi berkata, keangkuhan golongan berkenaan terlalu tinggi kerana bercakap seolah-olah mendabik dada ia mampu menyelesaikan masalah “seperti apa yang dijanjikan dalam manifesto PRU14”.
“Mereka masih ingin mengaku boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata sahaja sehingga sanggup merempuh keadaan paling mencabar yang masih dihadapi oleh mereka yang berada di barisan hadapan,” katanya.
Hadi mengingatkan beberapa buah negara mengisytiharkan darurat secara menyeluruh atau terhad kerana wabak semakin parah, selain menyeru semua pihak supaya menolak kepentingan peribadi, puak dan kumpulan, serta meneruskan bermuafakat.