Bayaran GKP 3.0 PEMERKASA Tambahan kepada PKS disalur mulai hari ini

Bayaran GKP 3.0 PEMERKASA Tambahan kepada PKS disalur mulai hari ini

Bayaran itu merupakan tambahan daripada RM1,000 yang dikreditkan ke dalam akaun mereka yang didaftarkan dalam sistem GKP pada pertengahan Jun 2021.

Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pembayaran yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM500 juta itu akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah tambahan Geran Khas Prihatin (GKP 3.0) sebanyak RM500 juta yang diumumkan melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) Tambahan dibayar mulai hari ini secara berperingkat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, ini merupakan tambahan daripada RM1,000 yang dikreditkan ke dalam akaun mereka yang didaftarkan dalam sistem GKP pada pertengahan Jun 2021.

“Pembayaran yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM500 juta ini akan dikreditkan terus ke akaun bank mereka.

“Seterusnya di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan pada 28 Jun 2021, bayaran tambahan GKP 4.0 akan disalurkan kepada penerima GKP sedia ada dan penerima baharu pada September 2021 dan November 2021, masing-masing sebanyak RM500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, tempoh pendaftaran GKP 4.0 akan dibuka mulai 15 hingga 31 Julai 2021.

Secara keseluruhan katanya, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir satu juta PKS mikro di bawah GKP sejak Covid-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion.

Katanya, kerajaan berharap bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi pada masa ini.

“Selain daripada GKP, banyak lagi inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh PKS mikro sepenuhnya sebagai persediaan untuk perancangan jangka panjang ke arah pemulihan perniagaan masing-masing.

“Ini termasuklah dana pinjaman mudah PKS mikro yang keseluruhannya berjumlah RM2.9 bilion melalui Bank Simpanan Nasional, Agrobank, MARA, SME Corp, YAPEIM dan TEKUN,” katanya.

Peruntukan dana pinjaman mudah bagi PKS dan PKS mikro juga tersedia di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM8.6 bilion dan ia termasuk dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui PEMERKASA Tambahan dan RM2 bilion lagi menerusi PEMULIH.

Maklumat lanjut mengenai dana ini dan bantuan kerajaan lain boleh didapati di https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.