Juara Euro 2020 sukar diramal, kata legenda bola sepak Sabah

Juara Euro 2020 sukar diramal, kata legenda bola sepak Sabah

Matlan Marjan berkata, England mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri, tetapi Itali tidak pernah tewas dalam lebih 30 perlawanan.

Matlan Marjan meramalkan 0-0 atau 1-1 untuk England dan Itali, dengan perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.
KOTA KINABALU:
Legenda bola sepak Sabah yang dua kali merobek gawang England dalam aksi persahabatan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1991, Matlan Marjan menyifatkan final Euro 2020 awal pagi nanti agak sukar diramal kerana England dan Itali sama-sama hebat.

Katanya, aksi final itu pastinya sengit kerana dua pasukan itu mempunyai kekuatan serta kelebihan sendiri untuk muncul juara.

“England mungkin ada kelebihan beraksi di (Stadium) Wembley, iaitu gelanggang sendiri, tetapi harus diingat, Itali juga belum pernah tewas lebih 30 perlawanan.

Matlan Marjan satu-satunya pemain Malaysia berjaya merobek gawang England sebanyak dua kali. (Keratan akhbar)

“Ramalan saya ’50-50′, mungkin 0-0 atau 1-1 seterusnya perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti,” katanya kepada FMT.

Matlan yang kini berusia 52 tahun adalah satu-satunya pemain negara yang pernah menggegarkan gawang “The Three Lions” bukan hanya sekali, tetapi dua kali ledakannya menembusi gawang England yang ketika itu dikawal Chris Woods.

Jaringannya dikatakan menyamai rekod 35 tahun bekas pemain Austria, Toni Fritsch, apabila berjaya menembusi gawang England sebanyak dua kali, selaku pemain yang membuat penampilan sulung di peringkat antarabangsa.

Jersi Matlan Marjan ketika menentang England dalam aksi persahabatan pada 1991 yang masih disimpannya, walaupun ada pihak menawarkan RM20,000.

Dalam perlawanan berkenaan, England yang mara ke separuh akhir Piala Dunia setahun sebelum itu serta dibarisi pemain hebat seperti Stuart Pearce, Mark Wright, David Batty, David Platt dan Gary Lineker, menewaskan Malaysia 4-2, semuanya menerusi ledakan Lineker.

Antara pemain yang turut membarisi skuad kebangsaan dalam perlawanan itu ialah Azizol Abu Haniffah, Chow Siew Yai, Serbegeth Singh, Ahmad Yusof, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan.

Matlan berkata, jersi nombor tujuh yang dipakainya ketika aksi persahabatan dengan England itu masih kekal disimpannya, walaupun ada beberapa pihak mahu membelinya.

“Ada yang tawar sehingga RM20,000 untuk jersi itu, tetapi saya tidak mahu jual. Jersi itu antara kenangan paling manis dalam hidup saya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.