
Kementerian Sumber Manusia berkata, wanita “diseksa” itu masih dalam keadaan terkejut dan kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan, selepas Mahkamah Majistret Taiping mengeluarkan perintah perlindungan interim (IPO) pada hari sama mangsa diselamatkan.
IPO itu sah selama 21 hari hingga 30 Julai ini untuk membolehkan kertas siasatan difailkan terhadap majikan mangsa.
Kementerian itu dalam kenyataan berkata, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat yang diketuai JTK, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) serta polis itu dijalankan pada 6.30 pagi Jumaat lalu, susulan aduan Kedutaan Indonesia dua hari sebelumnya.
“Mangsa dibawa ke Malaysia oleh ejen yang memaklumkan beliau akan bekerja sebagai pembantu rumah. Beliau dijanjikan gaji RM1,000.
“Beliau kemudiannya diminta membayar gaji tiga bulan sebagai bayaran perkhidmatan kepada ejen, selepas mendapat pekerjaan itu.
“Pembayaran itu diselesaikan melalui pemotongan gajinya pada Disember 2017 dan dua bulan pertama pada tahun berikutnya.”
Kementerian itu berkata, majikan mengambil kesempatan menggunakannya melakukan pelbagai kerja rumah kerana beliau tidak mempunyai permit kerja sah.
“Mangsa turut dipukul majikan apabila keluarga itu tidak berpuas hati dengan kerjanya.
“Tambahan, beliau juga tidak diberikan makanan, jika menyuarakan hasratnya untuk pulang ke negara asalnya atau tidak mahu bekerja dengan majikannya lagi.
“Pada masa sama, gajinya sering lambat dibayar. Ada juga keadaan beliau dipaksa memulangkannya.”
Kementerian itu berkata, terdapat petunjuk beliau ialah mangsa buruh paksa dan majikannya akan didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Operasi ini jelas menunjukkan usaha berterusan agensi penguatkuasaan dalam menangani isu buruh paksa.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal ini, tanpa mengira kewarganegaraan pekerja.”