
Pelanggaran yang berlaku antara kapal MV Galapagos dan MV Zephyr Lumos itu dikatakan berlaku di kedudukan 14.1 batu nautika di barat daya Kuala Sungai Muar.
Pengarah Maritim Johor Nurul Hizam Zakaria berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kejadian menerusi Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya.
Katanya, MRCC Putrajaya menerima isyarat kecemasan oleh sistem Cospas-Sarsat daripada kapal kargo terbabit manakala satu lagi isyarat sama diterima melalui Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Pekan Baru, Indonesia.
“Kejadian ini membabitkan pelanggaran antara kapal MV Galapagos dan MV Zephyr di kedudukan 14.1 batu nautika di barat daya Kuala Sungai Muar,” katanya dalam satu kenyataan.
Hizam berkata, sejurus menerima maklumat, MRSC Johor Bahru menyalurkan maklumat kepada Zon Maritim Batu Pahat (ZMBP) dan Pos Pengkalan Hadapan (FOB) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Batu Pahat bagi memohon bantuan aset.
Beliau berkata, kapal Kilat 47 daripada ZMBP dan PSC 37 Pasukan Polis Marin (PPM) telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran kejadian.
“Hasil pemerhatian dan pemantauan di lokasi kejadian, kapal MV Zephyr Lumos disyaki terlanggar kapal MV Galapagos, dan sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Hizam berkata, Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan untuk mengambil tindakan lanjut.