
Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata sebanyak 25,005 saringan dijalankan pada 6 Julai berbanding 19,614 pada 5 Julai dan ujian saringan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Semalam Selangor catat 4,400 kes dan 4,152 kes pada 8 Julai. Daripada data ini, kita akan melihat aktiviti pengesanan kontak dan ujian saringan yang lebih banyak di kawasan PKPD.
“Memang aktiviti kesihatan awam dan ujian saringan akan ditingkatkan apabila kawasan tersebut diisytiharkan PKPD,” katanya menurut laporan Bernama.
Adham berkata demikian dalam sidang media khas berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi Kementerian Kesihatan (KKM) mengurus pandemik Covid-19 di Lembah Klang, di sini hari ini.
Katanya, aktiviti pengesanan dan ujian saringan perlu giat dilaksanakan di kawasan PKPD untuk mengawal serta mengekang penularan Covid-19.
Beliau berkata usaha membendung Covid-19 bukan sahaja dilihat daripada kes harian tetapi kadar vaksinasi kerana ia mampu mengurangkan kes kemasukan ke hospital dan kematian sekaligus dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa.
Sementara itu, Adham berkata sebanyak 337,478 dos suntikan vaksin diberikan semalam menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin di seluruh negara meningkat kepada 10,750,748 dos.
Menerusi hantaran di Twitter, beliau berkata daripada jumlah pemberian dos harian berkenaan, sebanyak 213,396 adalah dos pertama manakala 124,082 pula dos kedua.
Katanya, lima negeri yang mencatatkan pemberian vaksin tertinggi semalam ialah Selangor dengan 92,400 orang, disusuli Sarawak (65,967), Kuala Lumpur (52,891), Perak (25,877) dan Negeri Sembilan (21,057).
Adham berkata, sehingga semalam juga jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama ialah 7,435,877 dan dos kedua 3,314,871.