
Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Lazim berkata, usaha itu bagi membendung pencerobohan orang awam dari luar pagar kawat duri yang memasuki lokaliti PKPD.
“Di Kuala Lumpur misalnya, mereka buat PKPD secara lokaliti dengan memasang kawat duri yang didapati efektif bagi mengelakkan pergerakan penduduk dan orang awam.
“Namun, timbul isu dilaporkan ada dalam kalangan mereka yang keluar masuk melalui kawat duri itu…jadi kami rasakan kawalan di luar juga perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan ia berlaku lagi,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak hari ini.
Beliau mengulas seorang wanita disyaki menyusup melalui dawai duri di kawasan PKPD di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dekat Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam di sini.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas sebuah video insiden itu yang dirakam orang awam tular di media sosial.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mengulas situasi negara berikutan perkembangan semasa, Mazlan memberi jaminan keselamatan dan ketenteraman awam dalam keadaan terkawal.
“Tidak ada perkara yang menjadi kebimbangan kami dan rakyat dinasihat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.