
Bekas pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreenevasan berkata, rakyat Malaysia sepatutnya tidak melupakan perhimpunan aman adalah hak terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan, selepas mengambil kira mereka tidak mempunyai banyak pilihan memaparkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan antara satu pilihan raya umum ke satu pilihan raya umum lain.
Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam, berkata pergerakan seperti Bersih 2.0 tidak boleh dilumpuhkan kerana pandemik sudah menunjukkan individu salah dibenarkan memimpin negara ini, gara-gara Langkah Sheraton.
“Masalah adalah kepemimpinan. Kepemimpinan negara di tengah-tengah pandemik cukup mengejutkan, sampai ke tahap mengakibatkan kesengsaraan rakyat.
“Perubahan bukan mustahil, namun masalahnya perubahan bukan perkara mudah dan ia mengambil masa. Anda jangan pernah berfikir untuk berputus asa. Pemimpin yang buruk mahukan anda berputus asa. Tapi, kita jangan sesekali berputus asa,” katanya dalam forum atas talian dikelolakan Bersih 2.0, malam ini.
Merujuk kepada layanan polis semakin menunjukkan peningkatan terhadap penunjuk perasaan selepas perarakan besar-besaran Bersih pada kali kedua dan ketiga, penangkapan secara tiba-tiba terhadap pengerusi, Maria Chin Abdullah, mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), membuktikan wujud keperluan “melawan sistem” tanpa henti.
Dalam pada itu, Pengerusi Bersih, Thomas Fann, berkata protes tidak pernah hilang sebagai pilihan dan sangat diperlukan bagi memaparkan hak rakyat dalam Perlembagaan Persekutuan dibuat secara aman, lebih-lebih lagi bagi menunjukan “demokrasi sedang berjalan”.
Bagaimanapun, beliau berkata, pandemik Covid-19 menjadi kekangan utama terutama melihat kadar jangkitan semakin meningkat, namun pemilihan tempoh masa bersesuaian untuk protes juga adalah penting.
Mengimbas kembali, protes ikonik yang menekankan kebersihan dan keadilan dalam pilihan raya yang menyaksikan kehadiran 50,000 orang, membabitkan lebih 1,000 penahanan, Ambiga berkata, beliau tidak menyangka perarakan itu menarik minat sejumlah besar penunjuk perasaan.
Sambil nada bergurau, Ambiga mengucapkan penghargaan kepada kerajaan disebabkan maklum balas keras dan ugutan dilakukan kepada penganjur menyebabkan lebih anjakan dari segi bilangan penunjuk perasaan yang tampil memberi sokongan.
“Ia membuatkan rakyat tertanya-tanya mengapa mereka (kerajaan) begitu menentang pilihan raya bersih dan adil. Sudah tentu ada tidak kena dalam banyak pilihan raya sebelum ini, dan sebab itulah mereka begitu berkeras terhadap kami,” katanya.
Seorang lagi bekas pengerusi, Zaid Kamaruddin, berkata satu faktor utama Bersih 2.0 menarik banyak sokongan sebahagian besar di negara ini adalah didorong matlamat dibawa Bersih adalah logikal dan “layak disokong” oleh rakyat.
Katanya, pendirian kukuh bersama untuk mendapat pilihan raya bersih dan adil tidak mampu dicapai seperti isu lain kerana wujud pandangan berbeza.