Presiden Umno itu berkata, keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam yang menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah demi kepentingan rakyat.
“Justeru, tidak benar sama sekali apa yang diputuskan Umno semalam kerana dahagakan kuasa. Jika dahagakan kuasa bukan begitu sifatnya. Lebih baik bergayut kepada kuasa sedia ada.
“Umno tidak boleh jadi ‘pak sanggup’ menadah kegagalan kerajaan PN,” katanya di Facebook.
Zahid berkata, tindakan Umno itu bertujuan memulihkan keadaan negara supaya kembali ke landasan yang betul, meskipun perlu berdepan pelbagai tohmahan.
“Sudah terlalu lama rakyat menderita dengan kedudukan ekonomi sangat lembab. Bagaimanapun secara halus ‘jenama’ Umno cuba ‘dikambing hitamkan’. Umno pula seolah-olah perlu dipertanggungjawabkan di sebalik kegagalan kerajaan PN.
“Bantuan diumumkan untuk rakyat walau tidak seberapa itu pun Umno yang terpaksa mendesak walau terpaksa menelan pelbagai tohmahan, kritikan dan diperlekeh.
“Maka Umno secara musyawarah mengambil keputusan yang cukup besar semalam, kerana Umno tahu rakyat sudah tidak tertanggung lagi. Negara perlu dipulihkan segera,” katanya.
Rabu lalu, Muhyiddin mengumumkan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalannya dan Hishammuddin Hussein dilantik menteri kanan keselamatan beberapa jam sebelum mesyuarat MKT Umno.
Zahid kemudian mengumumkan bahawa Umno secara rasmi menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan meminta beliau berundur.