
Ketua Polis Daerah Sungai Siput Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, program berkenaan menyebabkan ramai orang berkumpul dan tiada penjarakan fizikal.
“Beliau (penganjur) sudah ke Pejabat Daerah untuk memohon kebenaran bagi melakukan sumbangan bank makanan dan pejabat berkenaan memaklumkan tidak perlu kebenaran kerana konsep bank makanan hanya perlu meletakkan makanan di mana-mana dan orang akan ambil.
“Namun kesalahan yang dilakukan apabila beliau mengumpulkan orang di lokasi tersebut ibarat pengagihan makanan secara terbuka sehingga melanggar SOP walaupun pihak polis telah mengarahkan mereka beredar tetapi masih berdegil,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohd Khaizam mengulas isu yang tular di media sosial mengenai pemilik perniagaan itu yang memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan tetapi dikompaun sehingga mengundang kemarahan dan kecaman warga maya selain menuntut penjelasan pihak berkuasa.
Jelas beliau, pihaknya tidak melarang tindakan seseorang untuk menyalurkan bantuan makanan kerana ia satu perkara yang murni terutama ketika negara kini masih lagi dilanda pandemik Covid-19.
“Saya tidak mahu perkara ini dipolitikkan atas tindakan pihak polis kepadanya. Tambahan pula isu yang dibangkitkan ini berlaku pada Jun lepas. Saya rasa ini karut kerana selepas sebulan baru hendak bangkitkan,” katanya.
Mohd Khaizam berkata, pihak terbabit boleh membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah sekiranya percaya mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.
FMT sebelum ini melaporkan seorang pemilik perniagaan dan rakannya didenda RM1,500 seorang pada 5 Jun lepas kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan ketika mengagihkan bantuan makanan.