Kumpulan bersolidariti dengan ahli farmasi, doktor kontrak

Kumpulan bersolidariti dengan ahli farmasi, doktor kontrak

Ahli farmasi di semua peringkat digesa menyokong kempen 'Mengkaji dan Merombak Sistem Kontrak 'Tidak berperikemanusiaan' Untuk Ahli Farmasi Juga!' yang dilancarkan seminggu lalu.

Persatuan Farmasi Malaysia menggesa sistem kontrak dirombak untuk pekerja penjagaan kesihatan muda.  (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) bersolidariti dengan ahli farmasi dan doktor kontrak dalam usaha mendapatkan lebih banyak kepastian dalam kerjaya mereka.

Presidennya, Amrahi Buang turut menggesa sistem kontrak dirombak untuk pekerja penjagaan kesihatan muda.

“Kelemahan dalam sistem pekerjaan kontrak sedia ada untuk pekerja penjagaan kesihatan, termasuk ahli farmasi, menyebabkan ramai yang kecewa terhadap masa depan tidak pasti.

“Menyedihkan untuk melihat peluang latihan mereka terhenti akibat tempoh kontrak ditetapkan, yang menyebabkan ramai keluar daripada sistem itu lebih awal, tidak dapat meneruskan laluan kerjaya diinginkan mereka dalam sektor kerajaan.

Ketika merasmikan Konvensyen Farmasi Nasional 2021, Amrahi menggesa ahli farmasi di semua peringkat menyokong kempen “Mengkaji dan Merombak Sistem Kontrak ‘Tidak berperikemanusiaan’ Untuk Ahli Farmasi Juga!” yang mendapat lebih 3,500 tandatangan sejak dilancarkan seminggu lalu.

“Kami tiada pilihan lain kecuali melancarkan kempen solidariti untuk mengkaji dan merombak sistem pekerjaan kontrak semasa dalam sektor penjagaan kesihatan awam kita, sejajar pekerja penjagaan kesihatan lain.”

Mengenai kemapanan jangka panjang sistem penjagaan kesihatan negara, katanya, tiba masanya untuk melihat semula perkembangan dasar pembiayaan penjagaan kesihatan negara yang sudah lama dicadangkan, tetapi tiada tindakan diambil.

“Tiada alternatif lain, selain dasar pembiayaan penjagaan kesihatan untuk memastikan kesaksamaan dan kebolehcapaian lebih baik terhadap penjagaan kesihatan tanpa menambah tekanan ke atas perbelanjaan kesihatan dalam KDNK Malaysia setiap tahun.”

Amrahi berkata, walaupun pelbagai model dikemukakan, biasanya ia berpusatkan model insurans pembayar tunggal untuk meningkatkan akses keseluruhan untuk penjagaan kesihatan berkualiti dan mengurangkan beban ditanggung kemudahan kerajaan.

“Saya ingin mengulangi semua wawasan dan rancangan kami tidak akan berjaya, jika masalah pembiayaan penjagaan kesihatan tidak ditangani dengan baik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.