
Teo Nie Ching yang mewakili Parlimen Kulai berkata, harga kit ujian tersebut tidak sepatutnya melebihi RM15.
Kit ujian ini juga patut diberikan secara percuma kepada golongan B40 ke bawah, katanya.
“Dengan cara ini, kes positif boleh menjalani kuarantin kendiri dan dimasukkan ke hospital jika (keadaan mereka) serius.
“Aplikasi MySejahtera boleh digunakan untuk membuat laporan. Penularan virus dapat dikurangkan dengan ketara,” katanya dalam kenyataan.
Kaedah saringan Covid-19 semasa menggunakan kit RT-PCR, antigen RTK dan antibodi hanya boleh dilakukan oleh pengamal penjagaan kesihatan atau makmal.
“Kos ujian ini sangat tinggi, sekitar RM70-RM400. Ramai rakyat yang menderita dari segi ekonomi disebabkan wabak, tak semua mampu (membayar kos) ujian sebegini,” katanya.
Minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati dua ujian kendiri antigen RTK mempunyai sensitiviti melebihi 90%.
Ia selesai dikaji dan dan garis panduan akan tersedia pada minggu depan, tambahnya.