Timbul persoalan langkah Putrajaya perbaiki hubungan dengan Timur Tengah

Timbul persoalan langkah Putrajaya perbaiki hubungan dengan Timur Tengah

Terdapat keuntungan perdagangan yang jelas dengan meningkatnya hubungan dua hala antara negara Timur Tengah, namun ada 'persoalan strategik' perlu difikirkan Malaysia.

Muhyiddin Yassin bersama Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud semasa mengadakan kunjungan hormat di Riyadh pada Mac. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Usaha Putrajaya untuk memperbaiki hubungan tegang dengan negara-negara Timur Tengah nampaknya membuahkan hasil, namun masih ada persoalan mengenai maknanya buat Malaysia dalam jangka masa panjang.

Seorang penganalisis dasar luar yang tidak mahu dinamakan berkata, tidak ragu lagi bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pada Mac yang mengetuai delegasi ke Timur Tengah, telah berjaya memperbaiki hubungan dengan negara-negara seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Hubungan kita dengan Saudi dan UAE agak tegang semasa era Pakatan Harapan,” katanya, merujuk kepada isu-isu mengenai 1MDB, pembatalan projek Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman dan penarikan tentera Malaysia dari Arab Saudi sebagai tanda keengganan menyokong perang Saudi di Yaman.

Dalam isu 1MDB, pentadbiran PH memutuskan untuk menyaman International Petroleum Investment Co, sebuah syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, atas pengembalian dana 1MDB sebagai pengganti perjanjian penyelesaian.

Penganalisis itu berkata, terdapat keuntungan perdagangan yang jelas melalui peningkatan hubungan dua hala dengan negara-negara Timur Tengah, terutamanya anggota Majlis Kerjasama Teluk, namun tambahnya, ada “persoalan strategik” yang perlu difikirkan Malaysia.

Ini termasuk persoalan mengenai kedudukan Malaysia sebagai “rakan pilihan” bagi negara-negara Timur Tengah.

Beliau bertanya sama ada ini pertaruhan jangka panjang yang mampan bagi Malaysia dan sama ada pembuat dasar melakukan apa yang boleh untuk mengelak berulangnya keadaan yang membawa kepada penglibatan Malaysia dalam konflik Yaman.

“Apa maksud hubungan yang lebih baik ini buat Malaysia? Adakah kita akan lebih terlibat dalam perkara-perkara berkenaan negara-negara ini? Apa tujuan kita dan manfaat buat kita daripada anjakan dasar luar ini?” soalnya.

Beliau turut bertanya, sama ada kecondongan ke arah Timur Tengah ini hanya bersifat sementara, atau sebahagian daripada pelan strategi jangka panjang.

Oleh kerana Timur Tengah adalah rantau kompleks yang dilanda konflik sejak dahulu lagi, katanya, pakatan dan kepentingan strategik berubah-ubah dan sering bertentangan.

“Pelbagai pihak dari dalam dan luar rantau melakukan pelbagai helah untuk mendapat kedudukan berpengaruh, yang mana dalam segelintir kes, mencetuskan perang proksi antara mereka,” katanya.

Beliau mengakui bahawa Malaysia harus mencari jalan untuk memperbaiki dan memperdalam hubungan dua hala, tetapi berkata, negara ini perlu berhati-hati agar tidak terlibat dalam konflik di rantau itu.

Katanya, persaingan Timur Tengah sering kali melimpah ke dunia Islam yang lebih luas.

“Malaysia dapat pengajaran ini apabila meneruskan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada akhir 2019, yang tidak diterima baik oleh kebanyakan negara Timur Tengah dan negara-negara yang sejajar dengan mereka dalam Pertubuhan Kerjasama Islam,” katanya.

Pakar geostrategi, Azmi Hassan, bersetuju bahawa geopolitik Timur Tengah keruh dan sukar untuk dikemudi, tetapi tambahnya, Malaysia mengambil tindakan yang betul dalam usaha memperbaiki hubungan yang rosak.

Bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), katanya, Malaysia nampaknya lebih sejajar dengan Iran, yang tidak sekepala dengan Arab Saudi dan kebanyakan negara Arab.

Azmi berkata, tidak masuk akal bagi sebuah negara Islam kecil seperti Malaysia untuk tidak mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara Timur Tengah dan mengekalkan sikap berkecuali.

“Berbaik-baik dengan semua negara Timur Tengah adalah untuk kepentingan kita, supaya kita ada suara dalam dunia Islam dan merangsang perdagangan, yang menguntungkan ekonomi kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.