
Beliau yang juga pengerusi Umno Terengganu, berkata sokongan Umno Terengganu terhadap ketetapan berkenaan diputus kerana selaras dengan pendirian parti.
“Jelas dan nyata kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 dengan berkesan, menyalahgunakan Proklamasi Darurat untuk kepentingan politik, kegagalan kerajaan mempertahan sistem demokrasi berparlimen, kegagalan kerajaan menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat serta kegagalan kerajaan untuk memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat.
“Malah, kegagalan kerajaan mengurus kestabilan politik serta ekonomi dan kegagalan kerajaan yang memperkotak-katik titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menjadi sebab utama Umno menamatkan sokongan terhadap terhadap Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” katanya menurut laporan Berita Harian, hari ini.
Ahmad berkata, Umno berpendirian teguh memperjuang dan mempertahan kebajikan utama rakyat terkesan dan terjejas ketika ini.
“Umno tidak boleh bersekongkol dengan pihak yang mengakibatkan rakyat menderita, sektor kesihatan yang semakin kritikal, ekonomi menjunam, peningkatan jumlah rakyat membunuh diri kerana miskin dan lapar.
“Kepada Allah SWT kita berserah dan semoga Allah SWT memberkati kita semua. Insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Umno Terengganu mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden Ismail Sabri Yaacob, atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri.