Katanya kepada FMT, pelan berkenaan harus dirumuskan dalam rangka kerja yang akan menyediakan sistem perlindungan sosial dan menangani isu penjagaan kesihatan, kemiskinan, pekerjaan dan keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pelan itu harus merangkumi program bagi mengumpul dana untuk menganjurkan dan menyokong kebangkitan semula ekonomi, katanya.
Santiago, yang juga ahli DAP berkata, pelebaran jurang antara golongan kaya dan yang miskin mula menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan.
“Rakyat anggap kerajaan adalah masalahnya, bukan lagi jalan penyelesaian,” katanya.
Beliau menyifatkan kejayaan kempen “Bendera Putih” sebagai cerminan kepada kekecewaan rakyat terhadap kerajaan.
Katanya, Ahli Parlimen PH perlu turun padang untuk memaklumkan kepada rakyat bahawa gabungan itu mampu mencari jalan keluar.

Penganalisis politik Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, PH memerlukan koordinasi yang lebih baik antara tiga parti komponennya supaya dapat menunjukkan kemampuan sebagai kerajaan alternatif.
Beliau mengakui gabungan itu mempunyai idea bagus untuk menangani Covid-19 dan membantu rakyat, namun kata Oh, kenyataan gabungan berkenaan dibuat secara sporadik oleh individu berbeza.
“Sekarang ini, PH nampak berpecah-pecah. Ia perlu mempamerkan barisan yang padu dengan kepimpinan yang kukuh seperti pada 2018,” katanya.
Oh mencadangkan agar PH membentuk Jemaah Menteri bayangan dan menugaskan jurucakap bagi setiap portfolio supaya mesej konsisten dapat disampaikan.
“Ini juga waktu tepat untuk membuat pendirian rasmi. Jika ia tidak dapat bentuk kerajaan selepas pilihan raya umum seterusnya, adakah ia sudi bekerjasama dengan parti lain? PH perlu jelaskan perkara ini kepada pengundi,” katanya.
Bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, sidang Parlimen lima hari yang akan datang adalah peluang bagi Ahli Parlimen PH untuk menunjukkan kemampuan gabungan itu mentadbir negara sekali lagi.

Namun katanya, usaha ini akan menjadi sukar disebabkan kegagalannya dalam 22 bulan pemerintahan sebelum ini yang menyaksikan “menteri tertentu” menunjukkan mereka tidak layak untuk kementerian mereka.
Azmi berkata, PH harus bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan entiti lain kerana ia tidak mungkin membentuk kerajaan yang stabil secara bersendirian.
“PH perlu menunjukkan bahawa ia bukan sahaja sudi bekerjasama dengan parti lain untuk membentuk kerajaan yang stabil, malah mampu memilih individu yang layak untuk mentadbir kementerian, bukan pemimpin parti semata-mata kerana mereka adalah pemimpin,” katanya.