
GEORGE TOWN: Yang di-Pertuan Agong memperkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bersidang selepas darurat tamat pada 1 Ogos, berikutan permohonan Yang Dipertua Negeri (YDP) Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Dalam kenyataan, Ketua Menteri Chow Kon Yeow menzahirkan penghargaan dan tahniah buat Ahmad Fuzi kerana mendapatkan kelulusan berkenaan hal ini, yang diterima pada Selasa.
Dengan ini, kata Chow, kerajaan negeri mencadangkan DUN bersidang pada 1 Sept.
“Kerajaan negeri akan sentiasa mendapatkan nasihat daripada MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) berhubung prosedur serta kaedah yang perlu dilaksanakan bagi memastikan kawalan penularan wabak Covid-19 dapat dipenuhi dengan jayanya sepanjang tempoh persidangan DUN,” katanya.