Atasi masalah kekurangan katil HTAR, kata Ahli Parlimen

Atasi masalah kekurangan katil HTAR, kata Ahli Parlimen

Charles Santiago berkata keadaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah amat menyayat hati dan menggambarkan keadaan sistem kesihatan sekarang.

Pesakit terpaksa diletakkan di luar jabatan kecemasan hospital itu kerana tiada ruang di dalam.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) campur tangan segera dengan keadaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, yang mana ramai pesakit Covid-19 dilaporkan terpaksa diletakkan di pekarangan bangunan itu disebabkan kekurangan katil.

Dalam kenyataannya, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, keadaan itu amat menyayat hati dan menggambarkan situasi sistem kesihatan Malaysia kini.

“HTAR dibelenggu dengan bilangan katil yang sedikit, petugas barisan hadapan yang keletihan dan peralatan perubatan yang semakin rosak.

“Sebagai Ahli Parlimen Klang, saya meminta kerajaan persekutuan segera campur tangan untuk mengurangkan keadaan yang semakin mengancam di HTAR,” katanya.

Charles berkata, beliau akan menulis kepada KKM meminta penambahan segera peruntukan untuk hospital berkenaan supaya kemudahan sementara berasingan dapat didirikan untuk menampung pesakit Covid-19.

Beliau turut menggesa kerajaan menggunakan hotel bajet dan dewan orang ramai berhampiran sebagai langkah sementara untuk menempatkan pesakit terlibat.

Pada masa sama, beliau meminta syarikat besar di Klang tampil memberi sokongan kepada hospital itu dalam bentuk peralatan perubatan yang diperlukan segera.

“Mari kita berganding bahu di saat genting ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.