
Ketua Penerangan PAS itu menjelaskan kepada FMT, Hadi hanya menyatakan “Allah sahaja yang Maha Berkuasa untuk menghapuskan wabak Covid-19. Adapun manusia tetap mempunyai kekurangan dan kelemahan.”
Hadi dalam catatannya di Facebook semalam turut menyentuh tentang “pandemik politiking gila” yang melanda negara ketika ini. Beliau berkata kerajaan manusia akan tetap mempunyai kekurangan dan kelemahan tetapi orang yang jahil agama akan mencari kelemahan dan kekurangan untuk diuar-uarkan, “tanpa sama-sama tolong-menolong”.
“Sepatutnya pandemik Covid-19 ditangani dengan penuh penumpuan oleh semua pihak bagi menjaga nyawa seluruh rakyat yang tidak boleh ditangguhkan lagi. Bahkan wajib bertolong-menolong kerana wabak ini tidak mengenal siapa, tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik,” katanya.
Catatan Hadi itu dan laporan berkaitan bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi daripada ramai pihak, termasuk pemimpin DAP, Lim Kit Siang.
Lim kemudian menarik balik kenyataannya dan memohon maaf, kerana meyangka Hadi menyatakan hanya kerajaan Islam dapat menangani Covid-19.
“Selepas kenyataan tersebut dikeluarkan, saya telah dimaklumkan bahawa saya telah silap dalam pemahaman saya mengenai apa yang dikatakan oleh Hadi, dan beliau bukan merujuk kepada ‘kerajaan Islam’,” katanya, dalam kenyataan yang dikongsi Setiausaha Politik beliau, Syahredzan Johan di Twitter.
Kamaruzaman bagaimanapun berkata pemimpin terbabit sepatutnya lebih berhati-hati dalam menuturkan pandangan kerana ia berkait dengan soal akidah umat Islam.
“Sekiranya benci kepada pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional sekalipun, usah biadab sehingga meletakkan kelemahan pemerintahan itu kepada Tuhan umat Islam pula,” katanya.
“Lemah adalah sifat mustahil bagi Allah,” tambahnya.