Manfaat melebihi keburukan bagi laluan kereta api Butterworth-Kulim, kata pakar

Manfaat melebihi keburukan bagi laluan kereta api Butterworth-Kulim, kata pakar

Dua pakar pengangkutan berpendapat, cadangan laluan kereta api menghubungkan KXP dan LTAPP akan meningkatkan ekonomi dengan menghubungkan dua bandar besar di sepanjang laluannya.

Ahmad Hilmy Abdul Hamid (kiri) berkata, landasan kereta api baharu mampu melonjakkan ekonomi Pulau Pinang, manakala Ahmad Farhan Mohd Sadullah percaya koridor pengangkutan selalunya hanya difikirkan kemudian.
GEORGE TOWN:
Cadangan laluan kereta api untuk menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) ke Butterworth di tanah besar Pulau Pinang akan membawa banyak manfaat kepada negeri itu, kata dua pakar pengangkutan yang berpendapat ia akan meningkatkan ekonomi dengan menghubungkan dua bandar besar di sepanjang laluannya.

Ahmad Hilmy Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, Pulau Pinang perlu merebut peluang itu dan melihat laluan kereta api baharu itu berpotensi melonjakkan ekonominya, bukannya sebagai ancaman.

Katanya, kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) tidak mungkin terjejas dengan lapangan terbang serantau kerana ia adalah yang ketiga paling sibuk selepas lapangan terbang di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

Hilmy berkata, laluan kereta api itu, jika dilaksanakan, akan menghubungkan ribuan penduduk di sepanjang laluannya yang melintasi Seberang Perai.

Bagaimanapun katanya, sistem lama kereta api yang berasaskan landasan perlu diketepikan untuk sistem Transit Aliran Autonomi yang lebih moden dan murah atau trem tanpa landasan seperti di Iskandar Johor, yang lebih cepat dibina serta dimulakan.

Cadangan landasan kereta api itu mendapat perhatian apabila draf rancangan tempatan Seberang Perai 2030 menunjukkan peruntukan untuk laluan kereta api dari Butterworth ke Kulim dengan hentian di Bukit Mertajam dan Machang Bubok serta sistem transit bas dengan empat laluan merentasi tanah besar, satu daripadanya akan dijadikan pengangkutan pergi balik dari KXP.

Bagaimanapun Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kemudiannya mengemas kini draf rancangan tempatan itu dengan semua perkara yang merujuk kepada Kedah atau Kulim dikeluarkan.

Kulim penting bagi Pulau Pinang sebagai bandar sempadan

Hilmy berkata, Pulau Pinang tidak patut takut kepada Kulim dan menganggap bandar itu penting kepada pertumbuhan negeri berkenaan.

Seperti bandar sempadan lain katanya, ada pekerjaan dan keluarga di kedua-dua kawasan yang mendorong pertumbuhan mereka.

“Anda tidak boleh meletakkan tembok untuk memisahkan Seberang Perai dan Kulim,” katanya merujuk tindakan MBSP mengeluarkan rujukan kepada Kulim dalam draf rancangan tempatan Seberang Perai 2030.

“Pulau Pinang tidak boleh menjadi satu-satunya tempat yang memonopoli semua. Kita perlu melihat gambaran lebih besar dengan populasi negara dijangka meningkat menjelang 2030.”

Hilmy, yang pernah terbabit dalam rancangan tempatan daerah Kulim pada 2004 sebagai penasihat pengangkutan berkata, laluan kereta api sudah dicadangkan dari bandar Kulim ke Sidam Kiri, lokasi cadangan lapangan terbang tambang rendah itu.

“Sudah tentu, satu landasan dari Seberang Perai ke Kulim akan memanfaatkan semua, bukan hanya Kulim.”

Seorang lagi ahli akademik USM, Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, KXP yang dicadangkan itu akan membawa saingan sihat kepada Pulau Pinang dengan kedua-dua lapangan terbang akan bersaing menyediakan perkhidmatan terbaik kepada semua pengguna.

Katanya, banyak bandar mempunyai dua lapangan terbang yang wujud bersama tanpa mendatangkan banyak masalah seperti Haneda dan Narita di Tokyo serta Gatwick dan Heathrow di London.

Beliau berkata, lapangan terbang membenarkan penyuraian penumpang untuk mengelakkan terlalu ramai pelancong tertumpu ke kawasan yang sudah sesak.

“Jika kita melihat ini dari sudut kelestarian, terminal udara kedua adalah baik. LTAPP boleh fokus untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik, sama ada peruncitan kelas pertama, perjalanan lancar dan boleh diharapkan. Kita tidak boleh menafikan orang lain dan perlu kekal berdaya saing.”

Farhan berkata, secara idealnya, perlu ada landasan kereta api baharu yang meliputi Seberang Perai, Kulim dan Sungai Petani untuk memanfaatkan koridor ekonomi lebih besar.

“Koridor pengangkutan awam di kawasan bandar adalah kritikal. Kita terlalu membangunkan tanah kita dan koridor pengangkutan selalunya hanya difikirkan kemudian.

“Ini akan menjadikan pengangkutan awam lebih mahal kelak.

“Pengalaman Pulau Pinang adalah contoh baik. Kita akan terus kekurangan pengangkutan awam yang baik kerana masalah kewangan yang tidak dapat diselesaikan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.