
Namun, katanya kepada FMT, pihaknya sedang menunggu “penjelasan” daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai operasinya di Selangor semasa PKPD.
“Syarikat berharap dapat meneruskan operasi dengan selamat pada waktu yang tepat dan terus menghasilkan sarung tangan perubatan yang sangat diperlukan bagi petugas barisan hadapan dan pekerja penjagaan kesihatan di Malaysia dan (peringkat) global.
“Top Glove terus mematuhi dengan ketat peraturan yang relevan serta SOP (prosedur operasi standard) pencegahan Covid-19, dan komited untuk menjaga kesihatan dan keselamatan tenaga kerjanya dan masyarakat di mana ia beroperasi.”
Tidak dapat dipastikan penjelasan apa yang ditunggu pihak Top Glove daripada MKN.
Menurut laporan Malaysiakini, syarikat berkenaan menerima surat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang membenarkan kilangnya di Klang beroperasi, walaupun PKPD berkuat kuasa.
Memetik sumber, portal berita berkenaan kemudian melaporkan surat kebenaran MITI berkenaan telah dibatalkan kerana penghasilan sarung tangan getah tidak dianggap perkhidmatan perlu oleh MKN semasa PKPD.
“Ketika konfigurasi sistem, terdapat sesetengah syarikat yang dapat memuat turun surat (kebenaran) tersebut, tetapi mereka masih tidak boleh menggunakan surat tersebut (untuk beroperasi) atas sebab SOP,” kata sumber berkenaan.
Dalam komennya kepada FMT, Top Glove tidak mengesahkan mahupun menafikan laporan tersebut.