Isu iktiraf vaksin: Semua negara perlu sepakat, kata menteri

Isu iktiraf vaksin: Semua negara perlu sepakat, kata menteri

Ia bagi mengelak berlakunya kekeliruan dan isu pengiktirafan vaksin tertentu di negara seperti Arab Saudi, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kesatuan Eropah.

SEPANG:
Semua negara harus mempunyai kesepakatan dalam menentukan dasar imigresen yang jelas berhubung kepelbagaian penggunaan vaksin Covid-19 di seluruh dunia ketika ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, ia bagi mengelak berlakunya kekeliruan dan isu pengiktirafan vaksin tertentu di negara seperti Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU).

Beliau berkata, setakat ini semua pihak termasuk Malaysia yang menggunakan pelbagai keluaran vaksin belum mengetahui dasar imigresen sebahagian besar negara di dunia kerana ia belum dimuktamadkan.

“Ada negara yang sudah keluarkan syarat, contohnya syarat vaksin yang hanya digunakan di negara itu. Jadi ini adalah proses perbincangan yang masih berterusan dengan negara lain.

“Saya percaya paling strategik untuk Malaysia ialah Arab Saudi, Singapura, UK, AS, dan China. Ini adalah destinasi paling popular untuk rakyat Malaysia sama ada untuk bercuti atau perniagaan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Presiden AS, Joe Biden yang mengumumkan komitmen menyediakan 60 juta dos vaksin AstraZeneca kepada negara luar.

Walaupun vaksin jenis itu belum digunakan di AS tetapi ia diluluskan secara meluas di seluruh dunia dan EU juga hanya mengiktiraf vaksin AstraZeneca yang diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Beliau memaklumkan, pihaknya juga telah mencadangkan pendirian Malaysia bahawa mana-mana vaksin yang disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu diiktiraf.

Selain itu katanya, satu polisi jelas perlu diwujudkan bagi membolehkan setiap individu melakukan perjalanan ke luar negara dan Malaysia mencadangkan kaedah biasa ujian saringan dilakukan sekiranya vaksin digunakan tidak diiktiraf negara terbabit.

Dalam perkembangan lain Khairy berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan memperluaskan pembukaan PPVIN bagi sektor pengangkutan udara ke lapangan terbang lain di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.