Istilah ‘mesyuarat khas’ Dewan Rakyat mengelirukan, kata Ahli Parlimen PKR

Istilah ‘mesyuarat khas’ Dewan Rakyat mengelirukan, kata Ahli Parlimen PKR

Hassan Karim berkata, tiada istilah mesyuarat atau persidangan khas serta mesyuarat atau persidangan biasa dalam Peraturan Mesyuarat serta Perlembagaan.

Hassan Karim berkata, Parlimen hanya boleh dianggap bersidang semula jika ia dibuka dan bersidang dengan kehadiran Ahli Parlimen secara fizikal berpandukan Peraturan Mesyuarat sedia ada.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan istilah “mesyuarat khas” yang digunakan kerajaan ketika mengumumkan Dewan Rakyat akan bersidang semula mulai 26 Julai ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menyifatkan istilah itu mengelirukan dan sepatutnya tidak digunakan.

Wakil rakyat PKR itu berkata, dalam Peraturan Mesyuarat atau “Standing Order” serta Perlembagaan Persekutuan, tidak disebut istilah mesyuarat khas dan mesyuarat biasa.

“Seperti tiada kalimah mesyuarat khas dan mesyuarat biasa, maka begitu juga tidak ada kalimah persidangan khas atau persidangan biasa,” katanya kepada FMT.

Hassan berkata, yang ada hanyalah istilah persidangan dan mesyuarat seperti dinyatakan di bawah Peraturan 98 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau mengulas kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam yang memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong agar mesyuarat khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos bagi Dewan Rakyat dan tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos bagi Dewan Negara.

Hassan berkata, Parlimen hanya boleh dianggap bersidang semula jika ia dibuka dan bersidang dengan kehadiran Ahli Parlimen secara fizikal berpandukan Peraturan Mesyuarat sedia ada.

Katanya, pembukaan semula Parlimen juga perlu mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Bab 4 serta mematuhi Perkara 44 hingga 65.

“Jika kaedah baharu mengguna pakai mesyuarat khas yang bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Bab 4 dan bercanggah juga dengan ‘Standing Order’ sedia ada, maka persidangan itu nanti adalah cacat, tempang, tercemar dan rosak, iaitu sesuatu yang tidak diinginkan rakyat, Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja berperlembagaan.”

Apabila Parlimen dibuka katanya, fungsi Parlimen dan hak Ahli Parlimen yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Peraturan Mesyuarat mesti dipatuhi dan dihormati sepenuhnya oleh Speaker serta kerajaan.

Beliau berkata, pihak eksekutif tidak boleh mengenakan sebarang sekatan atau larangan terhadap Parlimen.

“Jika istilah mesyuarat khas itu sengaja diubah dan direka untuk mencacatkan peranan serta fungsi Parlimen, maka tindakan sedemikian adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan konvensi institusi demokrasi berparlimen, bertentangan prinsip pengasingan kuasa dan bercanggah dengan peruntukan undang-undang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.