Berikan Uighur status pelarian, desak NGO

Berikan Uighur status pelarian, desak NGO

Satu gabungan NGO berkata, ada kira-kira 60 golongan itu di negara ini yang bakal tamat visa dan pasport mereka.

Uighur adalah kumpulan minoriti etnik yang melarikan diri daripada penindasan di China, kata Zuhri Yuhyi yang juga presiden Malaysia4Uyghur. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Satu gabungan NGO mendesak Putrajaya memberikan status pelarian kepada masyarakat Uighur di sini untuk mengelak mereka dihantar pulang ke China.

Malaysia4Uyghur – gabungan NGO beragama Islam dan Kristian serta hak asasi manusia yang memperjuangkan hak Uighur – berkata, ada kira-kira 60 golongan itu di negara ini yang bakal tamat visa dan pasport mereka.

Presiden Malaysia4Uyghur Zuhri Yuhyi berkata, kumpulan minoriti etnik itu melarikan diri dari China untuk mengelak diskriminasi ekonomi, selain penindasan kerana budaya dan agama mereka.

“Mereka bimbang ditindas sekiranya kembali ke China. Disebabkan itu Malaysia patut memberikan mereka status pelarian,” katanya dalam kenyataan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Azmi Abdul Hamid berkata Malaysia “tiada pilihan” selain menerima golongan itu sebagai pelarian.

“Mereka sepatutnya diberikan status pelarian kerana Malaysia sebahagian daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Asean, seterusnya wajib memberi perlindungan untuk peminta suaka.

Azmi berkata, Malaysia patut menolong golongan itu kerana bilangan mereka tidak ramai manakala penduduk tempatan tiada masalah dengan orang Uighur.

“Mereka rajin dan mempunyai kemampuan keusahawanan, namun keadaan mereka amat terdesak,” katanya dengan menambah MAPIM telah membincangkan perkara itu dengan Wisma Putra dua kali selain menyerahkan memorandum pada 2019.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata sekurang-kurangnya sejuta etnik Uighur dan golongan Muslim lain ditahan di China, dalam apa yang didakwa Beijing sebagai ‘pusat latihan vokasional’ untuk mengekang keganasan dan mengajar kemahiran baharu.

Pada September tahun lalu, Putrajaya berkata ia tidak akan melayan permintaan untuk mengekstradisi pelarian etnik Uighur ke China, sebaliknya menjamin keselamatan perjalanan ke negara ketiga bagi golongan itu yang merasakan keselamatan mereka terancam.

Pada Oktober 2018 pihak berkuasa Malaysia membebaskan 11 Uighur daripada tahanan yang dihantar ke Turki tanpa mengendahkan permintaan China untuk menyerahkan mereka kepada kerajaan negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.