
Ini susulan soal siasat polis terhadap dua individu lain yang diikuti oleh serbuan ke atas pejabat dan rumah mereka.
Pengarah eksekutif Sevan Doraisamy, penyelaras projek Muhammad Alshatri Abdullah dan penasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Kua Kia Soong disoal siasat hampir satu jam setengah bersama Sharon Wah daripada Misi Solidariti.
Animasi pendek selama empat minit berjudul “Chilli Powder & Thinner” terbitan SUARAM didakwa berdasarkan pengalaman seorang remaja berusia 16 tahun dikasari polis ketika ditahan dalam lokap.
“Ditanya lebih 50 soalan berkenaan filem (animasi) itu dan walaupun polis bersikap cukup profesional, saya rasa ini semua membuang masa,” kata Sevan kepada FMT.
“Antara soalan yang utama adalah berkenaan siapa pencipta animasi itu, ia mengenai apa dan mesej yang cuba dibawanya.”
Terdahulu Suaram bekerjasama dengan FreedomFilmFest, festival filem dokumentari hak asasi manusia tahunan yang dianjurkan oleh Freedom Film Network (FFN) dalam kempen untuk mendesak Putrajaya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Kempen itu menampilkan dokumentari panjang dan pendek, termasuk beberapa dalam bentuk animasi yang menyoroti keganasan polis terhadap tahanan.
Wah adalah ahli panel forum yang diadakan selepas tayangan perdana filem animasi berkenaan pada 12 Jun yang memaparkan tahanan diikat dan dipukul dengan objek seperti cota dan getah paip sebelum badannya dilumur dengan serbuk cili dan cecair “thinner”.
Jumaat lalu, polis menyerbu pejabat FFN dan rumah kartunis Amin Landak di Wangsa Maju hanya sejam selepas Pengarah Eksekutif FFN Anna Har dan Amin disoal siasat berhubung kaitan mereka dengan animasi berkenaan.
Seperti Har dan Amin, empat orang aktivis tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 500 dan 505(b) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia.
Tayangan animasi berkenaan menyusuli sekurang-kurangnya empat kematian dalam tahanan polis yang dilaporkan sejak April hingga bulan lalu.
Pada 17 Jun, polis memanggil seorang wartawan Free Malaysia Today ke Bukit Aman untuk disoal siasat berhubung artikelnya mengenai animasi itu.
Rajsurian Pillai, salah seorang daripada lima peguam yang mewakili empat aktivis berkenaan memberitahu FMT, kebanyakan soalan polis hari ini adalah mengenai kaitan Suaram dengan pelancaran animasi itu.
“Polis cukup profesional dan di pihak kami, kami beri kerjasama penuh dan beritahu mereka untuk hubungi kami jika perlu sebarang maklumat.
“Kami tidak lari ke mana-mana,” katanya.