Pulau Pinang yakin alih Fasa Kedua selepas kes menurun

Pulau Pinang yakin alih Fasa Kedua selepas kes menurun

Kerajaan negeri itu hampir pasti untuk beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara dan melaksanakan pelonggaran sekatan pergerakan.

Jagdeep Singh Deo (depan) bergambar di Stadium Bandaraya sebelum bermulanya ujian. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Pulau Pinang yakin peralihannya ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara dan pelonggaran sekatan pergerakan dapat dilakukan selepas negeri itu mencatatkan kes Covid-19 di bawah purata mingguan 217 kes yang diperlukan di bawah angka baharu yang ditetapkan Putrajaya.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, sekiranya bilangan purata berkenaan melepasi angka ditetapkan itu, pelaksanaan sekatan pergerakan lebih ketat akan dilakukan semula.

Purata 217 kes mingguan adalah nilai ambang ditetapkan oleh Putrajaya untuk Pulau Pinang mengikut formula baru kelonggaran perintah sekatan di negeri-negeri.

Formula itu diambil kira untuk menentukan sama ada negeri tertentu boleh melaksanakan kelonggaran berbanding purata kes Covid-19 nasional.

Faktor lain yang dipertimbangkan untuk negeri ialah mempunyai sekurang-kurangnya 10% populasi sudah diberi vaksin dan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sehingga kini tiada angka tepat untuk penggunaan katil ICU, tetapi hanya dikategorikan sebagai ‘mencukupi’, ‘sederhana’ dan ‘terhad’.

Pulau Pinang merekodkan 1,174 kes dalam tempoh seminggu lalu bermula 28 Jun hingga 4 Julai dengan purata 167 kes sehari.

Kira-kira 8,000 orang mendaftar untuk saringan di bawah program ‘Penang Saring Covid-19’ di Stadium Bandaraya hari ini.

Sehingga Sabtu, 10% daripada populasi sasaran negeri ini, iaitu 1.3 daripada 1.7 juta orang sudah menerima vaksin.

Bagaimanapun, tiada maklumat berkenaan jumlah penggunaan katil di ICU setakat ini.

Chow berkata, bilangan semasa itu membolehkan Pulau Pinang beralih ke Fasa Kedua dan beliau berharap lebih banyak kit ujian sendiri disediakan sebagai jangkaan sekiranya berlaku peningkatan kes selepas ini.

Sementara itu, anggota exco kerajaan negeri Jagdeep Singh Deo berkata, ujian saringan besar-besaran yang dilaksanakan di Stadium Bandaraya, di sini, dihadiri kira-kira 8,000 orang.

Sebanyak 40,000 saringan percuma akan diberikan di bawah kerajaan negeri menerusi program Penang Saring Covid-19. Saringan itu kemudiannya diteruskan di Perai, Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.

Jagdeep berkata, fasa ujian saringan baharu akan disambung pada 30 Julai nanti.

Dalam perkembangan berasingan, Chow berkata, program bakul makanan di kawasannya di Parlimen Tanjong akan bermula pada Jumaat.

Program itu memperuntukkan RM300,000 untuk setiap Ahli Parlimen bagi menyediakan barangan keperluan untuk golongan memerlukan di setiap kawasan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.