Penghantar Foodpanda bantu polis jejak tahanan lolos

Penghantar Foodpanda bantu polis jejak tahanan lolos

Khamis lalu empat tahanan melarikan diri dari Pusat Transit Penerimaan (PTP) Penjara Puncak Borneo menuju ke hutan berhampiran.

Empat tahanan melarikan diri menerusi tingkap tandas dari Pusat Transit Penerimaan (PTP) Penjara Puncak Borneo, Kuching, sekitar 5.11 petang Khamis lalu selepas merosakkan besi jeriji. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Maklumat daripada seorang penghantar Foodpanda membawa kepada penangkapan dua tahanan lolos dari Pusat Transit Penerimaan (PTP) Penjara Puncak Borneo, Kuching, petang tadi, selepas lima hari melarikan diri.

Pada petang Khamis lalu, empat tahanan melarikan diri menerusi tingkap tandas dari pusat berkenaan sekitar 5.11 petang selepas merosakkan besi jeriji lalu menuju ke hutan berhampiran.

Bagaimanapun, dua daripada tahanan itu diberkas semula di Perumahan PR1MA, Kampung Sinar Baru, Kuching.

Pusat Transit Penerimaan itu dikhaskan bagi pesalah sedang menjalani tahanan reman penjara, sementara menunggu tarikh bicara atau sebutan semula kes.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Lim Jaw Syhong, berkata maklumat daripada penduduk perumahan Taman High Park, Batu 11, Jalan Kuching-Serian, juga banyak membantu operasi menjejak kedua-dua tahanan berkenaan.

“Maklumat disalurkan sekitar jam 10.30 pagi itu, benar-benar membantu mengesan lokasi sebenar kedua-dua tahanan terbabit dan mereka berjaya ditangkap semula sekitar jam 2.30 petang tadi, selepas cuba bersembunyi dalam paya di kawasan hutan bersebelahan perumahan itu.

“Kedua-dua tahanan, Mohamad Fikrry Azzarudin Abdullah, 26, dan seorang warga Indonesia dikenali Rahmat Simbolan, 38, ketika ditangkap berada dalam keadaan lemah kerana kelaparan dan mengalami kecederaan dipercayai bergerak dalam hutan pada waktu malam,” katanya menurut laporan Utusan Sarawak.

Beliau berkata, kedua-dua suspek adalah tahanan untuk kes mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 39B Akta Dadah berbahaya 1952.

“Operasi menjejak semula tahanan lolos berkenaan turut membabitkan kerjasama Platun Tiger Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara PDRM, Jabatan Penjara Sarawak dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Katanya, operasi memburu kedua-dua tahanan termasuk Op Tutup dilancarkan pada Khamis itu disertai 137 pegawai dan anggota pelbagai agensi berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.