Pelan tindakan nasional tangani buruh paksa dimuktamad suku keempat, kata menteri

Pelan tindakan nasional tangani buruh paksa dimuktamad suku keempat, kata menteri

Kementerian Sumber Manusia bekerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa bagi membangunkan pelan tindakan itu.

M Saravanan, Kementerian Sumber Manusia akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkepentingan lain dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang, khususnya buruh paksa.
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Manusia bekerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi membangunkan pelan tindakan nasional mengenai buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang dijangka dimuktamadkan pada suku keempat tahun ini.

Menterinya, M Saravanan berkata, pihaknya memandang serius isu di bawah bidang tanggungjawabnya, susulan Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021 Amerika Syarikat yang menyaksikan Malaysia diturunkan ke Tahap Tiga.

Katanya, sebagai pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkepentingan lain dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang, khususnya buruh paksa.

Beliau berkata, isu buruh menjadi amat kompleks berikutan pandemik Covid-19, tetapi kementeriannya akan terus mengambil pelbagai inisiatif, termasuk memperketatkan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Kementerian juga akan memastikan akta ini dapat dikuatkuasakan seiring Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 untuk meningkatkan jumlah sabitan berkaitan isu buruh paksa,” katanya dalam kenyataan.

Malaysia, yang berada di Tahap Dua TIP tahun lalu, diturunkan ke Tahap Tiga kerana gagal memenuhi sepenuhnya standard minimum membanteras pemerdagangan manusia dan tiada usaha untuk mematuhi standard minimum Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Manusia 2000.

Saravanan berkata, majikan yang mengambil pekerja domestik wajib mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mulai pertengahan tahun ini dan pihaknya akan memperhalusi sama ada mereka perlu dilindungi di bawah Akta Kerja 1955.

Katanya, kementeriannya akan mengkaji semula isu berkaitan kos yang dikenakan agensi pekerjaan swasta, jika terdapat caj tersembunyi yang boleh membebankan pekerja atau majikan sehingga menjurus kepada elemen eksploitasi dan perhambaan hutang.

Beliau berkata, 4,636 aduan berkaitan pelbagai isu buruh diterima setakat semalam menerusi aplikasi Working for Workers (WFW) yang dilancarkan Mei lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 3,502 aduan sudah disiasat dan diambil tindakan.

Saravanan berkata, maklumat daripada aduan itu turut membantu penguat kuasa kementeriannya menyiasat dakwaan buruh paksa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.