Pelajar cecah 18 tahun boleh divaksinasi, kata menteri

Pelajar cecah 18 tahun boleh divaksinasi, kata menteri

Syarat lain yang perlu dipenuhi adalah ibu bapa atau penjaga perlu menandatangani surat perakuan kebenaran bagi tujuan itu.

Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, pelajar yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara boleh mendaftar untuk vaksinasi awal di aplikasi MySejahtera.
PUTRAJAYA:
Vaksinasi Covid-19 boleh diberikan kepada individu yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara dan telah mencecah usia 18 tahun tahun ini (2021) namun kebenaran ibu bapa dan penjaga diperlukan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

“Satu syarat lain yang perlu dipenuhi adalah supaya ibu bapa atau penjaga mereka perlu menandatangani surat perakuan kebenaran bagi tujuan ini,” katanya pada sidang media perkembangan PICK hari ini bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Khairy sebelum ini berkata, pelajar yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara boleh mendaftar untuk vaksinasi awal di aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, terdapat ciri baharu khas yang diperkenalkan di Helpdesk aplikasi MySejahtera bagi memudahkan permohonan vaksinasi golongan tersebut.

Menurutnya, sejumlah 8,615 janji temu bagi permohonan awal untuk kategori pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara diterima.

Khairy dalam pada itu berkata, sebanyak 21 pusat pemberian vaksin (PPV) mula beroperasi hari ini, meliputi PPV awam dan PPV integrasi dengan kapasiti sehingga 5,000 suntikan sehari.

Antara PPV baharu yang dibuka adalah Dewan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan di Chenor, Pahang, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA dan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat masing-masing di Selangor.

Khairy berkata, purata pemberian suntikan vaksin yang tinggi dicatatkan pada minggu lepas, iaitu sebanyak 230,115 dos sehari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.