
Presidennya, Dr Kuljit Singh berkata, persetujuan itu juga dicapai oleh hampir semua pihak hospital swasta dan beberapa hospital persendirian selepas Kementerian Kesihatan (KKM) meminta bantuan sumber manusia termasuk jururawat, pegawai perubatan dan pakar.
“Hospital swasta sudah membantu negara sejak tahun lalu dalam memerangi wabak ini dengan menyediakan alat bantuan pernafasan, melakukan ujian Covid-19 malah sejak tahun ini, kita sudah mula merawat pesakit Covid-19.
“Hospital swasta juga kekurangan tenaga manusia kerana penglibatan dalam aktiviti ini. Tanpa menghiraukan kesulitan yang dialami, hospital swasta masih bersedia menyokong usaha kerajaan dalam menangani keadaan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Kuljit berkata, kumpulan gergasi hospital swasta seperti IHH Healthcare, KPJ Healthcare, Sunway dan Ramsay Sime Darby Hospitals terlibat secara aktif dalam program vaksinasi Covid-19 di hospital mereka dan pusat vaksinasi mega.
Dalam menjayakan usaha ini, hospital swasta juga komited untuk terus membantu kerajaan pusat meningkatkan kadar vaksinasi dengan jangkaan 12 juta dos akan tiba pada bulan ini.