
Ia sekaligus menyangkal dakwaan isu kontraktor perlu memotong gaji penyedia perkhidmatan KBK.
“Tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja KBK,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, bagi perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB), kementerian itu akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktor terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“KPM yakin inisiatif berkenaan akan membantu meringankan beban kewangan penyelia perkhidmatan di institut di bawah KPM serta pekerja terlibat akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Selain itu, sewaan kantin dan premis/ruang (kedai buku, koperasi, dobi, ‘vending machine’) akan dikecualikan bagi tempoh enam bulan mulai Julai sehingga Disember 2021.
Katanya, penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis tersebut di sekolah bawah kementerian turut diberikan secara automatik untuk tempoh satu tahun apabila tamat tempoh kontrak asal.
Terdahulu, bekas perdana menteri Najib Razak berkata, kadar minimum gaji yang ditetapkan kerajaan sepertinya tidak berlaku ketika tempoh perintah kawalan pergerakan 3.0 (PKP).
Ia susulan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan dalam garis panduan perintah kawalan pergerakannya (PKP) bahawa pengoperasian kerja pembersihan di sekolah harus dikurangkan kapasiti 60%.
Katanya, setelah pemotongan gaji itu berlaku ia secara tidak langsung menjadikan jumlah gaji mereka berada di bawah kadar minimum yang ditetapkan iaitu RM1,200 sebulan di wilayah bandar utama dan RM1,100 di luar bandar.
“Gaji bulanan ‘cleaner’ sekolah sekitar RM1,000-RM1,200, majikan pun potong gaji ‘cleaner’ sebanyak 40% untuk elak buang pekerja.
“Gaji ‘cleaner’ sekolah tinggal RM500-RM700 sebulan selepas dipotong gaji dan KWSP/PERKESO.
“Kenapa pula kerajaan memaksa majikan untuk langgar gaji minimum dengan hanya bayar 60% nilai kontrak masa PKP?” soalnya.