
Ini susulan permintaan rakyat Sabah untuk menerima vaksin semakin meningkat saban hari, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Bekalan sedia ada sudah tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan sama ada (bagi) mereka yang telah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera atau melalui pendaftaran secara manual.
“Saya difahamkan pihak hospital terpaksa menangguhkan temujanji penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua kerana kekurangan bekalan vaksin,” katanya, sambil menambah, ini tidak sepatutnya berlaku dalam usaha mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat.
Kata Bung, pemberian vaksin di Sabah yang kini sekitar 10,000 hingga 11,000 orang sehari sepatutnya boleh ditingkatkan kepada 20,000 orang sehari.
Bagaimanapun, katanya, bekalan vaksin yang terhad selain beberapa kekangan lain mengakibatkan sasaran itu sukar dicapai.
“Kerajaan telah mempelbagai kempen kesedaran mengenai kebaikan vaksin kepada rakyat Sabah termasuk program ‘outreach’ di luar bandar, selain pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV), malangnya bekalan vaksin tidak mencukupi.
“Sehubungan itu, saya meminta kerajaan pusat khususnya kementerian yang berkaitan agar melihat isu ini sebagai perkara penting agar keadilan bagi penerima vaksin di negeri ini dapat dipenuhi selari dengan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963),” katanya.
Setakat 28 Jun, Sabah menerima 628,390 dos vaksin, dan daripada jumlah itu, sebanyak 601,420 dos sudah digunakan setakat semalam menerusi dua fasa pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat negeri.
Setakat semalam juga, pendaftaran rakyat Sabah sebagai penerima vaksin sudah mencapai 900,021 atau 32.6%.