Perlu penuhi permintaan global, benarkan kilang sarung tangan di Selangor beroperasi, rayu pengeluar

Perlu penuhi permintaan global, benarkan kilang sarung tangan di Selangor beroperasi, rayu pengeluar

Pelanggan global bimbang mengenai kekurangan pengeluaran dan penghantaran sarung tangan kepada mereka, kata MARGMA

Malaysia adalah pengeluar sarung tangan terbesar di dunia, membekalkan 67% daripada penggunaan global, menurut MARGMA.
PETALING JAYA:
Sarung tangan penting dalam usaha memerangi Covid-19 dan jangkitan lain semasa musim wabak, jadi benarkan kilang-kilang kami di Selangor beroperasi dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), rayu kumpulan pengeluar sarung tangan.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata, pelanggan global menyatakan kebimbangan mengenai kekurangan pengeluaran dan penghantaran sarung tangan kepada mereka.

“Ahli kami berada di bawah tekanan yang luar biasa daripada hospital global dan pekerja penjagaan kesihatan berikutan wabak kini telah berkembang kepada varian lain.

“Terdapat kebimbangan dalam sektor penjagaan kesihatan global apabila menteri kita mengumumkan kemungkinan penutupan industri sarung tangan berikutan sarung tangan perubatan amat diperlukan untuk melindungi petugas barisan hadapan dan kakitangan hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut laporan Bernama.

Ahli MARGMA secara kolektif menghasilkan dan mengeksport sarung tangan ke 195 buah negara di seluruh dunia.

Katanya, pengeluar Malaysia memainkan peranan penting dalam tindak balas kemanusiaan sebagai pengeluar sarung tangan terbesar, membekalkan 67% daripada penggunaan global.

PKPD akan menjejaskan situasi bekalan, kata Supramaniam, justeru persatuan berkenaan meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan segera untuk bekerjasama mengatasi kebimbangan semua pihak yang terlibat.

“Kami meminta untuk mengadakan pertemuan dengan MITI untuk menyelesaikan isu berhubung penguatkuasaan PKPD berikutan 58% daripada semua sarung tangan yang dihasilkan di Malaysia adalah daripada pengeluar yang terletak di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, permintaan global untuk sarung tangan amat tinggi untuk sektor penjagaan kesihatan dan ahli MARGMA telah diminta untuk memberi lebih perhatian membantu membekalkan ke negara-negara yang teruk dilanda wabak, termasuk India, Pakistan, Bangladesh dan negara-negara Amerika Selatan.

“Ketika Eropah dan Amerika menuju ke arah fasa pemulihan, ahli-ahli bersedia untuk memenuhi permintaan sektor bukan penjagaan kesihatan seperti pengendalian makanan, perindustrian, makmal bilik bersih dan dermatologi,” katanya.

Permintaan global terhadap sarung tangan pada 2021 dijangka kekal sebanyak 420 bilion unit dengan 13,318 unit digunakan setiap saat di seluruh dunia.

Pertumbuhan permintaan untuk sarung tangan dijangka antara 15 dan 20% pada tahun depan.

Supramaniam juga berkata, ahli MARGMA bersetuju untuk memvaksinasi semua pekerja dengan kos syarikat sendiri dan semua pekerja sarung tangan selain didaftarkan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di MySejahtera, turut didaftarkan dengan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor dan Program Vaksinasi untuk Sektor Agrikomoditi.

“Kami turut merayu kepada kerajaan untuk menyediakan kit ujian menggunakan sampel air liur secepat mungkin yang akan meningkatkan kekerapan saringan pekerja. Pengeluar kami juga bersetuju untuk menanggung semua kos kit ujian ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.