Pemilik lapor premis dipecah masuk, kegiatan perlombongan bitcoin terbongkar

Pemilik lapor premis dipecah masuk, kegiatan perlombongan bitcoin terbongkar

Pemilik rumah kedai itu, seorang lelaki berusia 23 tahun, dua rakannya, dan dua suspek pecah masuk ditahan polis bagi siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, pemilik premis dan dua rakannya itu kini direman dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Tindakan seorang pemilik sebuah rumah kedai melaporkan kejadian pecah masuk di premisnya di Bandar Baru Farlim di sini Jumaat lalu membongkar kegiatan perlombongan mata wang digital bitcoin dan penyambungan elektrik secara haram di premis itu.

Akibatnya, pemilik premis berkenaan, seorang lelaki berusia 23 tahun, dan dua rakannya, masing-masing berusia 24 dan 35 tahun, ditahan untuk siasatan lanjut, selepas polis menyita 149 mesin bitcoin bernilai kira-kira RM150,000 dari premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata terdahulu, pihaknya menerima laporan daripada pemilik tersebut pada 4 petang yang memaklumkan menerima notifikasi melalui telefon bimbitnya bahawa premisnya diceroboh.

“Lelaki itu yang sedang berada di rumah bergegas ke kedainya dan sebaik tiba terserempak dengan tujuh lelaki yang melarikan diri menaiki sebuah sebuah van dan kereta.

“Bertindak atas laporan yang dibuat lelaki itu, pihak polis telah mengesan sebuah van yang dinaiki oleh suspek di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada 4.30 petang sebelum menahan dua lelaki berusia 34 dan 37 tahun serta merampas tiga komponen komputer yang dicuri dari rumah kedai berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Soffian berkata, susulan tangkapan itu, polis melakukan siasatan lanjut ke atas premis berkenaan pada 12.15 tengah malam dan mendapati ia digunakan untuk kegiatan perlombongan bitcoin menggunakan penyambungan elektrik secara haram, selepas menemui 149 mesin bitcoin bersama beberapa kelengkapan lain itu.

Beliau berkata, pemeriksaan pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) mendapati kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak empat bulan lalu dan menyebabkan TNB kerugian kira-kira RM180,000.

Katanya, pemilik premis dan dua rakannya itu kini direman dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dua lelaki yang dipercayai suspek pecah masuk premis tersebut didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, dan direman tiga hari.
Polis sedang mengesan beberapa lagi rakan mereka bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.