
Cuti pertengahan penggal ini akan bermula pada 16 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri Kumpulan B, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).
Tambahnya, makluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai akan dibuat sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal bermula.
“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi PdP secara bersemuka terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja.
“Bagaimanapun, KPM ingin memaklumkan bahawa Takwim Persekolahan KPM tahun 2021 adalah kekal seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan (Radzi Jidin) dalam sidang media pada 6 Jun lepas,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama.
Radzi pada sidang media berkenaan berkata, PdPR akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing sehingga cuti pertengahan penggal.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN mulai esok.
Keputusan itu diambil berdasarkan nilai ambang di negeri-negeri berkenaan yang telah berjaya dicapai, iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10%.