Umno ‘tiada’ dalam kenyataan parti komponen PN sokong PEMULIH

Umno ‘tiada’ dalam kenyataan parti komponen PN sokong PEMULIH

Kenyataan dikeluarkan setelah dilaporkan bahawa para pemimpin Umno diberitahu untuk menarik sokongan terhadap kerajaan semasa sebelum 1 Ogos.

Menurut kenyataan berkenaan, jentera semua parti komponen akan memainkan peranan memastikan mesej penting mengenai pakej bantuan kerajaan akan sampai ke akar umbi.
PETALING JAYA:
Sebuah kenyataan bersama dikeluarkan oleh parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin hari ini menyokong pakej bantuan terbaru kerajaan, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), namun ia tidak disertai Umno.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan parti masing-masing muncul setelah dilaporkan bahawa para pemimpin Umno diberitahu untuk menarik sokongan terhadap kerajaan semasa sebelum 1 Ogos.

Menurut kenyataan berkenaan, jentera semua parti komponen akan memainkan peranan memastikan mesej penting mengenai pakej bantuan kerajaan akan sampai ke akar umbi.

Mereka turut menyeru agar rakyat segera mengambil manfaat daripada setiap insentif yang disediakan, termasuk moratorium dan program bakul makanan.

Mereka juga akan membantu kerajaan PN menjayakan Pelan Pemulihan Negara dengan memperkasakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kami menyeru kita semua bersama-sama dalam memerangi kesan daripada wabak Covid-19. Jika kita bekerja bersama, kita akan menang bersama,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Wan Saiful Wan Jan daripada Bersatu, Kamaruzaman Mohamad (PAS), Chin Vui Kai (SAPP), Jeffrey Kumin (STAR), Koh Shiaw Lee (Gerakan), V Gunalan (MIC), Chan Quin Er (MCA), Khairin Bador (PBRS), Yong Li Na (PDP), Julita Majungki (PBS), Idris Buang (PBB), Wilfred Nissom (PRS) dan Adam Yii (SUPP).

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan lebih 10 Ahli Parlimen Umno, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), dipanggil berjumpa presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber memberitahu, Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan bercadang mengemukakan usul kepada MKT supaya Umno menarik sokongan terhadap kerajaan PN dalam masa terdekat.

Ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada Mac, parti itu memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN selepas darurat tamat pada Ogos untuk memaksa Parlimen dibubarkan supaya pilihan raya umum (PRU) seterusnya dapat diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.