Syarikat produksi degil, set penggambaran ingkar PKP diserbu

Syarikat produksi degil, set penggambaran ingkar PKP diserbu

Serbuan dilakukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sebuah pusat beli-belah di Cheras pada awal minggu ini.

Menurut Finas, tindakan penguatkuasaan sudah diambil ke atas pihak terbabit dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).
PETALING JAYA:
Sebuah syarikat produksi didapati masih berdegil dengan meneruskan penggambaran sebuah filem walaupun ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Tindakan produksi itu diketahui hasil serbuan dilakukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sebuah pusat beli-belah di Cheras pada awal minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, serbuan yang dilakukan Unit Penguatkuasa, Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas itu mendapati sebuah produksi masih menjalankan aktiviti penggambaran di premis berkenaan.

“Saya meminta semua syarikat produksi di negara ini tidak sesekali melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 yang kini masih dilaksanakan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Ahmad Idham berkata, tindakan penguatkuasaan sudah diambil ke atas pihak terbabit dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).

“Finas ingin mengingatkan semua syarikat produksi untuk terus mematuhi segala SOP dan garis panduan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung kes penularan Covid-19 ketika ini.

“Pihak Finas komited dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan serta mengalu-alukan sebarang aduan daripada masyarakat sekiranya mengetahui ada aktiviti penggambaran dijalankan,” katanya.

Katanya, Finas juga tidak akan teragak-agak untuk lebih bertegas jika mendapati berlaku pelanggaran SOP membabitkan aktiviti penggambaran yang sememangnya tidak dibenarkan ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.