‘Pilih kasih’ vaksin AstraZeneca, Khairy dapatkan penjelasan EU

‘Pilih kasih’ vaksin AstraZeneca, Khairy dapatkan penjelasan EU

Khairy Jamaluddin berkata, semua vaksin yang diiktiraf WHO juga wajar diterima negara lain.

Laporan berita mendakwa rakyat Malaysia yang disuntik vaksin AstraZeneca mungkin sukar bergerak bebas dalam Eropah kerana EU hanya mengiktiraf vaksin yang diluluskan Agensi Perubatan Eropah.
KUALA LUMPUR:
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin akan mendapatkan penjelasan Kesatuan Eropah (EU) mengenai pengiktirafan hanya sejenis vaksin Covid-19 AstraZeneca yang mampu menyukarkan pergerakan bebas di negara blok itu.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu menyuarakan harapan tiada diskriminasi dari segi di mana vaksin dihasilkan, malah katanya kilang AstraZeneca di seluruh dunia menggunakan formula sama.

“Semua vaksin (adalah) sama. Bagi saya untuk mengasingkan kilang tertentu itu nampak tidak adil.”

Khairy berkata, isu pengiktirafan vaksin ini perlu dibincangkan secara mendalam oleh masyarakat antarabangsa.

Susulan itu, Khairy berkata, beliau akan membincangkan perkara berkenaan dengan wakil EU di Malaysia.

“Pendirian Malaysia adalah, sekiranya vaksin itu adalah yang diterima oleh WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) maka kita mohon supaya negara lain turut mengiktiraf mereka yang telah diberi vaksin tersebut,” katanya.

Beliau diminta mengulas laporan bahawa rakyat Malaysia yang menerima suntikan vaksin AstraZeneca mungkin sukar bergerak bebas di dalam Eropah susulan EU hanya mengiktiraf vaksin diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Menurut laporan CodeBlue, kelulusan vaksin Covid-19 tidak merangkumi yang dibuat oleh SK Bioscience (Korea Selatan) atau Siam Bioscience (Thailand). Makmal Jepun turut tidak termasuk dalam senarai yang diluluskan EMA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.