PKPD di beberapa lokaliti di Sarawak, Kedah, Sabah dan P Pinang

PKPD di beberapa lokaliti di Sarawak, Kedah, Sabah dan P Pinang

PKPD itu dilaksanakan mulai Ahad ini hingga 17 Julai.

PKPD itu bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko di beberapa lokaliti di Sarawak, Kedah, Sabah dan Pulau Pinang.
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Sarawak, Kedah, Sabah dan Pulau Pinang mulai Ahad ini hingga 17 Julai.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko di lokaliti terbabit.

Ia membabitkan Rumah Panjang Malang anak Bada di Sungai Bayan, Mukah, Kawasan Kilang Jimat Jaya Sdn Bhd dan Kawasan Industri Ringan Bukit Makmur serta asrama pekerja di Taman Seroja, Sungai Lalang di Kuala Muda, Kampung Siasai Dundau dan Kampung Pantai Emas di Kota Belud, Kampung Naruntung di Pitas, Kampung Iban Kuala Nansang di Tawau, Kampung Babagon di Penampang dan Taman Nagasari di Mukim 6, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Ismail turut mengumumkan PKPD di Kampung Gusi Kinarut, Papar, Sabah yang dijadualkan tamat esok, disambung sehingga 17 Julai ini.

Katanya, PKPD di Kawasan Semarak di Tawau, Perumahan Awam Desa Rejang di Kuala Lumpur, Projek Perumahan Rakyat Termiskin Kampung Pasir Putih di Putatan, Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau di Sungai Lepah, Tanjung Manis, Mukah dan Kampung Skim Pamalan di Keningau pula ditamatkan hari ini atau esok.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 636 individu ditahan atas kesalahan mengingkari SOP semalam, dengan 597 orang dikompaun dan 39 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (182), tiada penjarakan fizikal (116), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (94), tidak memakai pelitup muka (89), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (54), membawa penumpang berlebihan (25), premis gagal patuhi arahan (14), aktiviti pusat hiburan (6) dan lain-lain.”

Katanya, 10 pendatang asing tanpa izin ditahan dan enam kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng semalam.

Dalam pada itu, Ismail berkata, Majlis Keselamatan Negara membenarkan pejabat Pesuruhjaya Sumpah dan perbicaraan kes jenayah di mahkamah beroperasi sepanjang Fasa I Pelan Pemulihan Negara, kecuali di kawasan PKPD.

“Bagi kes sivil, termasuk kes tribunal, ia dibenarkan dalam talian, termasuk di kawasan PKPD.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.