Penerima vaksin AstraZeneca teruja dapat tarikh dos kedua

Penerima vaksin AstraZeneca teruja dapat tarikh dos kedua

Ia susulan pengumuman Putrajaya yang bersetuju untuk mempercepatkan suntikan dos kedua vaksin AstraZeneca daripada 12 minggu kepada sembilan minggu.

Tinjauan di laman sosial Twitter juga mendapati tanda pagar AstraZeneca dan MySejahtera menjadi “trending” sejak tengah malam tadi.
PETALING JAYA:
Ramai meluahkan rasa teruja dan lega selepas mendapat tarikh janji temu bagi dos kedua vaksin AstraZeneca.

Ia susulan pengumuman Putrajaya yang bersetuju untuk mempercepatkan suntikan dos kedua vaksin itu daripada 12 minggu kepada sembilan minggu.

Tinjauan di laman sosial Twitter juga mendapati tanda pagar AstraZeneca dan MySejahtera menjadi “trending” sejak tengah malam tadi.

Seorang warganet dengan nama akaun @najaizzati teruja selepas mendapat janji temu kedua vaksin AstraZeneca selepas enam jam selesai mengambil dos pertama.

“Baru lepas enam jam selesai dos pertama vaksin AstraZeneca dah dapat temu janji untuk dos kedua. Laju kemas kini,” ciapnya.

Seorang lagi netizen dikenali sebagai @nizambakeri meminta orang ramai menyemak janji temu selepas dia juga turut mendapat tarikh untuk dos kedua.

“Siapa yang dapat vaksin AstraZeneca ‘batch’ pertama, boleh semak Mysejahtera. Saya dah dapat tarikh untuk dos kedua.”

Bagaimanapun ada juga warganet yang meluahkan rasa kesal kerana masih belum mendapat tarikh janji temu vaksinasi walaupun telah mendaftar sejak Februari lalu.

“Temu janji saya mana? Dah banyak kali saya kemas kini Mysejahtera, masih juga di ‘assessment’..” menurut ciapan @AnitalV2.

“Hi, macam mana ni, dos pertama belum dapat lagi, saya dah daftar dari bulan Februari, orang lain semua dan dapat dos kedua, saya dos pertama pun belum,” kata warganet dengan nama @FazlianaEzatul.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan tempoh menunggu untuk suntikan kedua bagi mereka yang menerima vaksin AstraZeneca dipendekkan daripada 12 kepada sembilan minggu.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat saranan daripada Kumpulan Kerja Teknikal Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.