Menjelang PKPD, orang Selangor ‘serbu’ pasar raya

Menjelang PKPD, orang Selangor ‘serbu’ pasar raya

Orang ramai berpusu-pusu di pasar raya sejak pagi tadi untuk membeli barangan keperluan sebelum PKPD dilaksanakan.

Orang ramai beratur panjang di Mydin Hypermarket di Subang Jaya menjelang penguatkuasaan PKPD. (Gambar Muhammad Rabbani Jamian)
PETALING JAYA:
Penduduk di Selangor menyerbu pasar raya sejak pagi tadi untuk membeli pelbagai barangan keperluan pada saat akhir menjelang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di 34 mukim bermula tengah malam ini.

Tinjauan FMT di Mydin Hypermarket, Subang Jaya mendapati orang ramai terpaksa beratur panjang menunggu giliran untuk membuat pembayaran di kaunter.

Kebanyakan troli mereka dipenuhi keperluan asas seperti beras, minuman coklat, sayur, minyak masak, tisu gulung, telur, roti dan biskut.

Mereka bernasib baik kerana tidak berdepan masalah kekurangan stok di pasar raya dan boleh mendapatkan barangan dengan mudah.

Jurucakap pasar raya itu berkata, bilangan pelanggan bertambah sejak pagi tadi berbanding hari biasa dan mereka juga membuat pembelian dalam kuantiti yang besar.

Walaupun rak yang mengisi telur ayam kelihatan semakin kosong, dia memberi jaminan bahawa mereka mempunyai bekalan mencukupi untuk menampung keperluan pelanggan.

Orang ramai sibuk membeli barangan keperluan di Mydin Hypermarket, Subang Jaya. (Gambar Muhammad Rabbani Jamian)

Tinjauan di pasar raya di Sri Sentosa di Jalan Klang Lama juga menunjukkan situasi sama apabila ramai pelanggan datang beramai-ramai untuk membeli bekalan barangan keperluan.

Begitu juga keadaan di pasar raya Jaya Grocer di Perdana Shopping Centre yang menyaksikan barisan pelanggan beratur untuk masuk kerana premis itu mengehadkan bilangan orang di dalamnya.

eorang pembeli Gunaseelan Rajoo berkata, dia sebenarnya baharu sahaja membeli barangan dapur beberapa hari lalu dan kali ini datang semula untuk menambah stok barangan kerana bimbang tidak dibenarkan keluar rumah.

Walaupun terlalu ramai pelanggan namun pekerja di Mydin Hypermarket akan memastikan rak sentiasa dipenuhi dengan stok barangan. (Gambar Muhammad Rabbani Jamian)

“Kami gembira apabila kerajaan akhirnya mengambil langkah ini tetapi ia sepatutnya berlaku beberapa bulan lalu. Ia mungkin boleh menyelamatkan kami daripada masalah ini tetapi kami sudah bersedia (untuk PKPD),” katanya kepada FMT.

Chua Pei Tee pula berkata, dia hanya melakukan pembelian biasa untuk memenuhi keperluan bekalan makanan keluarga yang terdiri daripada tujuh orang.

Chua agak ragu-ragu dengan pelaksanaan PKPD itu namun menjelaskan dia dan keluarga juga sudah melalui beberapa kali PKP sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.