Ganti bakul makanan dengan baucar, kata Ahli Parlimen kepada kerajaan

Ganti bakul makanan dengan baucar, kata Ahli Parlimen kepada kerajaan

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata ia adalah alternatif terbaik bagi mengelakkan isu logistik, kos dan keselamatan awam

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Subang Wong Chen mencadangkan supaya pemberian bakul makanan digantikan dengan baucar beli-belah bagi mengelakkan timbulnya beberapa isu seperti logistik, pembaziran kos dan keselamatan orang ramai.

Dalam satu hantaran di Facebook, Wong berkata, beliau belum menerima peruntukan berjumlah RM300,000 walaupun beberapa Ahli Parlimen di Kuala Lumpur sudah mendapatnya.

Katanya, berdasarkan garis panduan yang diberikan Putrajaya, semua Ahli Parlimen perlu menyediakan bakul makanan terdiri daripada beras, minyak, gula dan makanan tin dalam kuantiti ditetapkan.

Mereka juga perlu membeli, menghantar, menyimpan dan mengagihkan semua barangan dengan kos tidak melebihi RM100 bagi setiap pek.

Berdasarkan kiraan dilakukan pasukannya, Wong menganggarkan setiap penerima akan mendapat barangan makanan bernilai RM70 manakala RM30 lagi digunakan sebagai kos pengendalian dan sebagainya.

Wong Chen.

“Dengan peruntukan sebanyak RM300,000 dan pek bernilai RM100 setiap satu, kita mensasarkan untuk mengagihkan 3,000 bakul makanan kepada golongan memerlukan di setiap kawasan parlimen,” katanya.

Wong berkata, objektif pelaksanaan inisiatif itu seolah-olah mengandaikan bahawa dia mempunyai ruang yang luas untuk menyimpan sehingga 30,000 kilogram (kg) beras, minyak dan garam bersama barangan lain.

“Untuk melakukan operasi logistik seperti ini, saya perlu memiliki gudang mini, lori 10 tan dan sekurang-kurangnya 30 pegawai serta sukarelawan untuk mengendalikan 100 kotak sebelum mengagihkannya,” katanya.

Walaupun terdapat alternatif lain untuk mengagihkan barangan itu menerusi pemborong di pusat pengagihan seperti tapak letak kereta, Wong berkata, ia dibimbangi akan menyebabkan penularan wabak Covid-19.

“Pengagihan berkonsep ‘siapa cepat, dia dapat’ juga akan mencetuskan situasi kelam kabut.

“Manakala bagi yang datang secara ‘walk-in’ pula, sukar untuk kita buktikan siapa yang benar-benar memerlukan bantuan ini,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya baucar beli-belah dipos kepada penerima bagi membolehkan mereka membeli sendiri barangan makanan di kedai berhampiran tempat tinggal masing-masing.

Menurutnya, baucar itu juga boleh dihadkan kepada barangan makanan dan tidak termasuk rokok atau alkohol.

Wong berkata, pasukannya sudah mengusulkan cadangan itu kepada uUnit Koordinasi Pelaksanaan di Pejabat Perdana Menteri dan mereka masih lagi menunggu jawapan.

Katanya, sejak pandemik bermula, dia juga mengagihkan baucar makanan bernilai RM200 kepada 600 penerima sambil menegaskan ia dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.